PUTRAJAYA - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberikan jaminan bahawa bekalan makanan asas adalah mencukupi susulan penganjuran rumah terbuka yang menjadi tradisi sepanjang Syawal ini.
KPKM menerusi kenyataan memaklumkan keyakinan itu selari dengan keupayaan pengeluaran domestik komoditi makanan utama negara oleh para petani, pesawah, peladang, penternak dan nelayan sepanjang Ramadan.
Bagi bekalan komoditi makanan yang terhad pengeluaran domestiknya pula, ia ditampung melalui pengimportan bekalan untuk keperluan pengguna di pasaran.
"Rumah terbuka sepanjang Syawal merupakan kelaziman bagi rakyat Malaysia dan tradisi ini bukan sahaja dianjurkan oleh individu serta keluarga, malah turut dianjurkan oleh sektor awam, korporat, perniagaan, komuniti dan badan bukan kerajaan (NGO).
"Oleh itu, jumlah penggunaan bekalan makanan asas dalam kuantiti yang besar diperlukan sepanjang tempoh tersebut," katanya pada Selasa.
"Ini bagi memastikan ia mencukupi untuk keperluan pengguna," jelas KPKM.
Menurutnya, kebolehcapaian komoditi makanan utama itu juga akan disokong oleh outlet pemasaran di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), selain pasar raya dan kedai runcit di seluruh negara.
"Dalam masa yang sama, KPKM menggalakkan amalan penggunaan bekalan makanan mengikut keperluan bagi mengelakkan sebarang bentuk pembaziran, khususnya dalam tempoh penganjuran rumah terbuka," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28