PRK: Rancakkan pembangunan, ekonomi Kuala Kubu Baharu

Iklan
Dari kiri: Zaidi, Irwan dan Nur Syakila

HULU SELANGOR - Orang ramai mengharapkan pemimpin yang bakal mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu selepas pilihan raya kecil (PRK) pada 11 Mei ini, adalah individu tepat yang berupaya merancakkan pembangunan dan ekonomi di kawasan berkenaan.

Peniaga, Nur Syakila Musa, 35, berkata, pengganti mendiang Lee Kee Hiong diharap meneruskan misi menjadikan Kuala Kubu Baharu sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kawasan itu popular sebagai lokasi tumpuan riadah termasuk aktiviti pendakian, perkhemahan selain perkelahan serta mandi-manda sungai.

"Kee Hiong banyak membawa perubahan dalam pembangunan pelancongan termasuk lorong seni serta bangunan lama yang telah dicat semula sebagai usaha tarikan pelancong.

Iklan

"Ia seterusnya membuka peluang penjanaan ekonomi penduduk setempat melalui aktiviti perniagaan.

"Harap usaha mendiang ini diteruskan kerana ini penting buat peniaga seperti kami untuk menambah pendapatan melalui kehadiran pelancong di sini," katanya pada Sinar Harian pada Selasa.

Iklan

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK DUN Kuala Kubu Baharu, Selangor pada 11 Mei ini.

Tarikh penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan masing-masing ditetapkan pada 27 April (Sabtu) dan 7 Mei (Selasa).

Kerusi DUN Kuala Kubu Baharu kosong susulan kematian Kee Hiong, pada 21 Mac lalu selepas beberapa tahun bergelut melawan kanser.

Nur Syakila berkata, selain pelancongan, aspek infrastruktur termasuk pencahayaan dan penyelenggaraan jalan juga perlu diberi tumpuan bagi keselesaan pengguna.

"Pembangunan yang semakin rancak perlu disertakan tambah baik infrastruktur kerana tidak mustahil kawasan ini terus menjadi tumpuan penempatan terutama mereka yang bekerja di Kuala Lumpur untuk membeli hartanah di sini.

"Harap pemimpin yang dipilih nanti dapat meneruskan usaha pembangunan di sini dan berani memperjuangkan nasib rakyat yang mengundinya," katanya.

Seorang penduduk di Batang Kali, Zaidi Ismail, 41, berharap pembangunan di Kuala Kubu Baharu disertakan peluang pekerjaan melalui penambahan sektor perkilangan

"Pembangunan di Kuala Kubu Baharu semakin baik cuma harap terus ditambah baik termasuk meningkatkan peluang pekerjaan melalui pembukaan lebih banyak sektor industri di sini.

"Hal ini kerana kebanyakan penduduk yang tinggal di sini bekerja di luar seperti Kuala Lumpur.

"Dengan pembukaan sektor industri ini, Kuala Kubu Baharu tidak hanya menjadi tumpuan penempatan, sebaliknya turut menyumbang kepada sektor ekonomi," katanya.

Pada masa sama katanya, sistem telekomunikasi juga perlu ditambah baik kerana ada beberapa kawasan menghadapi masalah gangguan talian perkhidmatan.

Sementara itu, seorang peniaga, Irwan Husni, 30, turut berharap ADUN dipilih mampu membantu mempermudah urusan peniaga kecil berniaga dan memperoleh lesen perniagaan.

"Kalau boleh perbanyak misi pembukaan kios dan ruang niaga untuk bantu peniaga khususnya orang tempatan mengembangkan perniagaan.

"Selain itu, harap juga urusan permohonan lesen atau permit perniagaan tepi jalan dipermudahkan supaya dapat beroperasi dengan tenang tanpa bimbang tindakan penguatkuasaan dikenakan ke atas kami," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28