CYBERJAYA - Pengawal peribadi yang ditembak dalam kejadian di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 selesai menjalani pembedahan usus di Hospital Cyberjaya pada Selasa.
Isterinya, Siti Noraida Hassan, 38, berkata, suaminya, Muhammad Nur Hadith Zaini, 37, atau lebih dikenali sebagai Along menjalani pembedahan usus yang berlangsung selama lima jam.
Menurutnya, suaminya akan menjalani pemantauan khusus daripada pihak hospital untuk tempoh lima atau enam hari bagi pembedahan usus tersebut.
"Keadaan suami saya agak stabil buat masa ini. Namun begitu, dia masih ditidurkan.
"Saya sangat-sangat bersyukur dengan perkembangan terkini keadaan suami.
Sementara itu, Siti Noraida berkata, dia dimaklumkan bahawa buah pinggang suaminya mungkin perlu menjalani proses dialisis buat sementara waktu.
Selain itu menurutnya, limpa suaminya mengalami sedikit kecederaan ekoran terkena tembakan.
"Saya mohon doa daripada semua supaya kecederaan itu mampu pulih sendiri dan suami kembali sihat seperti sediakala," katanya.
Pada Ahad, media melaporkan seorang lelaki bertindak nekad melepaskan tembakan kepada isterinya sebelum terkena individu lain dalam kejadian dalam kejadian kira-kira jam 1.15 pagi.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28