ARAHAN Kementerian Komunikasi kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) untuk meneliti semula isu gaji pelakon kanak-kanak menerima reaksi berbeza daripada penerbit dan juga individu penting di sebalik pemain industri berkenaan.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, isu ini penting bagi memastikan tidak ada pihak mengambil kesempatan memandangkan golongan itu mungkin tidak mengetahui hak-hak mereka sebagai seorang pelakon.
"Pada waktu ini Finas sedang meneliti beberapa pindaan akta termasuk Peraturan-Peraturan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Pelesenan) untuk tambah baik isu kanak-kanak dan orang muda yang terlibat dalam penggambaran, selain isu kebajikan seniman, veteran dan kru penggambaran,” katanya.
Beliau berkata demikian di Dewan Negara bagi menjawab soalan tambahan Senator Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berhubung langkah bagi melindungi hak dan keselamatan pelakon kanak-kanak.
Sementara itu, menjawab soalan asal Senator Datuk Noraini Idris, Fahmi berkata, pihaknya memandang serius statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkenaan 73.13 peratus penerbit filem tidak peka terhadap keperluan permohonan Lesen Hiburan Awam Kanak-Kanak dan Orang Muda di bawah seliaan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma).
Beliau berkata, pada masa ini kebanyakan syarikat penggambaran dan perfileman berhubung dengan Finas untuk memohon Surat Perakuan Penggambaran (SBP).
"Kita akan jadikan salah satu kayu ukur program Finas untuk pastikan semua syarikat yang mohon SBP faham lesen yang mereka perlu mohon dengan Jabatan Tenaga Kerja,” katanya.
Ada yang berpendapat, saranan itu adalah satu perkara baik meskipun sudah banyak syarikat produksi lebih menghargai bakat pelakon muda.
Perbincangan
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib telah menerima arahan itu dan akan mengadakan perbincangan bersama Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dalam masa terdekat.
Katanya, Finas akan menetapkan satu peraturan khas di bawah SBP dan mana-mana produksi yang akan menjalani penggambaran mendapat permit khas untuk pelakon kanak-kanak.
"Insya-ALLAH kita boleh laksanakan perkara ini secepat mungkin selepas selesai perbincangan dilakukan. Kita akan buat satu pengumuman sebaik ia sudah dimuktamadkan.
"Finas juga akan mendapatkan kadar bayaran untuk pelakon daripada persatuan yang berkaitan dan memberi garis panduan mengenai pembayaran paling minimum yang sepatutnya diterima oleh pelakon,” katanya kepada Sinar Harian.
Tetapkan kadar bayaran
Dalam pada itu, pemilik rumah produksi Tanah Beris Film Production Sdn Bhd dan juga pengarah prolifik, Shuhaimi Lua berpendapat, tidak ada isu besar melibatkan pembayaran gaji pelakon kanak-kanak kerana mereka diuruskan oleh pihak yang lebih arif termasuk ibu dan bapa sebagai pengurus.
Malah ada beberapa pelakon muda berbakat besar menetapkan kadar bayaran RM1,000 hingga RM1,500 untuk penggambaran sehari.
Tidak kurang juga yang meletakkan harga tidak masuk akal untuk penggambaran melibatkan projek kecil seperti telefilem atau drama pendek.
"Kalau nak ikutkan penerbit yang banyak teraniaya kerana bila kita mahukan kualiti dalam drama, kita mahukan pelakon yang hebat lakonannya, perlu mengeluarkan belanja yang lebih kerana kadar bayaran mereka tidak murah.
"Jika pelakon itu benar-benar berbakat, pernah menang anugerah, saya rasa mana-mana penerbit pun akan sanggup keluar belanja lebih, tetapi jika ada di antaranya masih baharu, pening juga kepala untuk penuhi kadar bayaran yang ditetapkan,” ujarnya.
Tambah pengarah yang bakal tampil dengan filem pertamanya, Pontianak 200kg, pihak kementerian dan Finas seharusnya menetapkan kadar bayaran untuk seseorang pelakon itu mengikut kelayakan mereka.
Katanya, ia bagi memastikan pihak produksi terutamanya penerbit tidak teraniaya dalam isu pembayaran gaji.
"Mungkin kalau pelakon itu benar-benar layak mengikut hasil kerja mereka, tidak salah dibayar dengan harga tinggi.
"Cuma kalau pelakon baru ini, biarlah dengan kadar yang sesuai. Kalau boleh, Finas tetapkan kadar bayaran yang bersesuaian untuk setiap pelakon,” jelasnya.
Bergantung produksi
Bersetuju dengan saranan yang dikeluarkan Menteri Komunikasi, ibu kepada pelakon Qistina Raisah iaitu Roszana Aminuddin berharap isu pembayaran gaji ini dapat dimuktamadkan dengan baik.
Menurut Roszana, isu pembayaran ini sebenarnya bergantung kepada sesebuah produksi itu dan ada penerbit yang tidak berkira untuk membayar setimpal dengan hasil kerja seseorang pelakon itu.
Katanya, ada segelintir penerbit yang tahu menilai dan bersedia membayar mengikut kadar yang ditetapkan.
"Isu pembayaran gaji ini bukan semakin teruk, tetapi tidak juga semakin baik. Ada sesetengah produksi, dia tidak berkira, kita beri harga A, dia sanggup bayar lebih.
"Ada juga produksi yang letak harga sama seperti 10 tahun lalu, walhal pelakon itu sudah ada pengalaman yang sepatutnya,” jelasnya.
Menurut Roszana, isu pembayaran pelakon kanak-kanak ini boleh dikategorikan sebagai situasi menang-menang.
"Bagi saya, seseorang pelakon itu pasti nak kekal lama dalam industri dan kalau nak kekal lama, perlu tahu bagaimana untuk letakkan harga yang sesuai.
"Kalau mahal, penerbit akan ada pilihan lain. Bagaimanapun saya sambut baik cadangan menteri dan semoga ada sinar untuk semua pelakon dalam industri ini,” katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28