AHMEDABAD - Polis India memberkas dua anggota geng jenayah terkenal di negara itu selepas mereka melepaskan tembakan ke arah kediaman aktor Bollywood, Salman Khan.
Serangan itu dibuat geng Bishnoi yang terlibat beberapa kes pembunuhan dan pemerasan sebagai tindakan balas dendam kerana superstar itu didakwa membunuh dua ekor antelop ketika menyertai aktiviti memburu pada 1998.
Difahamkan, pengikut kumpulan berkenaan percaya spesies haiwan tersebut adalah penjelmaan semula 'guru' mereka.
Pihak berkuasa memaklumkan dua lelaki menaiki motosikal melakukan tindakan itu di apartment didiami Khan di kawasan kejiranan mewah di Bandra, Mumbai pada awal pagi Ahad.
"Aktor tersebut dilaporkan berada di rumah ketika insiden itu. Dua suspek berusia 21 dan 24 tahun berjaya ditahan berhampiran sebuah kuil di negeri barat Gujarat," ujar jurucakapnya.
Sebelum ini, ketua geng itu, Lawrence Bishnoi yang kini meringkuk di dalam penjara pernah mengugut bunuh terhadapnya malah pengikut geng tersebut juga terus 'memburunya' selama dua dekad.
Pada 2018, Khan yang pernah membintangi hampir 150 filem dijatuhi hukuman penjara lima tahun kerana melanggar Akta Perlindungan Hidupan Liar. - AFP
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28