SIK - Kelewatan menyiapkan projek pembinaan kolam selam tempur di Kem Iskandar, Mersing, Johor boleh menjejaskan kebolehupayaan latihan pasukan Gerup Gerak Khas (GGK), kata Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan.
Justeru, beliau berharap projek yang mula dilaksanakan sejak 2018 itu dapat disiapkan segera oleh pelaksana iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR) kerana keperluan penggunaan kolam tersebut adalah tinggi.
"Sebagai pengguna, memang kita sentiasa pantau dan perkara ini juga dibangkitkan setiap bulan pada Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan TDM (Tentera Darat Malaysia) yang dipengerusikan Timbalan Panglima Tentera Darat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama anggota dan pegawai operasi di Markas Taktikal Kem Gubir di sini, pada Selasa.
Menurut Muhammad Hafizuddeain, syarikat yang dilantik melaksanakan projek di bawah kelolaan JKR itu telah memohon enam kali ‘‘lanjutan masa’ (EoT) dan EoT terakhir pada 14 April lepas menyebabkan penyiapan projek berkenaan sudah mengalami kelewatan 647 hari.
"Saya difahamkan tahap pembinaan projek tersebut sudah di paras 97 peratus, maknanya hanya tiga peratus lagi namun mereka masih juga gagal untuk menyiapkannya,” katanya.
Turut hadir pada majlis itu, adalah Panglima Medan Barat Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Huzaimi Sabri; Panglima Medan Timur Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Mohd Sofi Md Lepi; Ketua Staf Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Zaidan Atan dan Panglima Latihan Tentera Darat Mejar Jeneral Datuk Marzuki Mokhtar. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28