Bank Rakyat lafaz ikrar bebas rasuah

Iklan
Dr Mahathir (duduk di tengah) dam Noripah (duduk, tiga dari kanan) pada Forum Integriti Bank Rakyat 2020 di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR - Buat julung kalinya seramai 90 pengurusan Bank Rakyat dari seluruh negara melafazkan ikrar bebas rasuah Suruhan-jaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sempena Forum Integriti Bank Rakyat 2020 di sini semalam.

Lafaz ikrar tersebut diketuai Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Rosman Mohamed dan disaksikan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil.

Iklan
Iklan

Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Noripah Kamso berkata, selaras dengan itu Bank Rakyat mengumumkan langkah ke hadapan untuk mengamalkan polisi tiada hadiah dalam operasi mereka.

Menurutnya, bertemakan Institusi Reformasi Dalam Malaysia Baharu, Forum Integriti Bank Rakyat 2020 bertujuan meletakkan kedudukan Bank Rakyat sebagai pemimpin pemikiran dalam industri.

Iklan

"Ini adalah selaras dengan Rangka Tindakan Bank Rakyat 2025 (BR25).

"Bagi mencapai matlamat itu, kita perlu melangkaui kemampuan kewangan Islam yang melibatkan seluruh industri dan menjadi pemimpin dalam menyediakan penyelesaian untuk pembangunan ekonomi bagi pelanggan sedia ada dan baharu.

Iklan

"Kami terharu kerana bukan sahaja menerima sokongan daripada Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof dalam perjalanan baharu ini, malah berbesar hati atas kesudian Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan forum ini,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Noripah berkata, pelancaran tersebut mengukuhkan lagi hasrat pihaknya untuk menginstitusikan reformasi dan memupuk budaya tadbir urus, integriti serta antirasuah kepada bukan sahaja warga kerja, malah pihak berkepentingan selaras dengan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) yang dilancarkan pada Januari 2019.

Sempena forum berkenaan, Noripah turut mengadakan sesi perbualan khas bersama Dr Mahathir bagi membincangkan mengenai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sama ada ia boleh dikekalkan atau memerlukan pengubahsuaian semula mengikut peredaran masa.