USIA yang semakin bertambah, membuatkan fungsi vital tubuh manusia semakin menurun.
Antara anggota yang terkesan ialah tulang belakang yang akan mula 'menua' lebih-lebih lagi pada umur 30-an dan ke atas.
National Institute of Neurological Disorders and Stroke, Amerika Syarikat dalam satu kajian dijalankan berkata, keadaan itu akan mendorong seseorang mengalami sakit belakang yang berpunca daripada penyakit slipped disc.
Natijahnya, pesakit akan berdepan dengan masalah pembengkakan, keterbatasan pergerakan, berkurangnya fleksibiliti hingga kadangkala boleh membuatkan mangsa lumpuh.
Pada sisipan kali ini, Sihat:Aktif mengajak beberapa pakar untuk memperhalusi lebih mendalam tentang simptom, kaedah rawatan, cara mencegah dan komplikasi di sebalik masalah slipped disc.
Adakah terdapat pendekatan alternatif mengatasi masalah demikian? Mungkin masih belum terlambat untuk kita memulakan gaya hidup sihat demi kesihatan tulang belakang?
Ikuti kupasan lanjut wartawan, SITI FARAH ELIANI SOLLEH.
'Penderitaan yang bukan sebarangan'
PADA peringkat awal, Rosliana Zuki kerap mengalami sakit pada bahagian belakang.
"Oh, ia mungkin disebabkan aku asyik menghadap komputer sepanjang hari, lima kali seminggu kot," getus hati kecil wanita berusia 25 tahun itu.
Namun, lama-kelamaan bukan sahaja sakit belakangnya semakin menjadi-jadi malah kaki kanannya turut kebas.
Apabila 'menyerah' diri ke klinik berhampiran, doktor memaklumkan kemungkinan pelajar universiti awam itu ada 'masalah angin' dalam badan. Perasaan lega menyelubungi dirinya.
Pun demikian, selang beberapa minggu, kesakitan Rosliana telah membuatkan dirinya mengalirkan air mata dek tidak dapat menanggung rasa sakit.
Atas nasihat orang sekeliling, beliau membuat keputusan untuk berjumpa pakar di sebuah hospital selepas pelbagai cara konvensional digunakan untuk merawat sakit belakangnya.
Antaranya adalah dengan menjirus kaki dengan air, menuam pada bahagian kaki dan merehatkan otot seketika.
"Kalau awak tanya saya bagaimana rasa sakit itu, jawapannya, saya nak bangun pun susah. Hampir 24 jam, kaki saya akan kebas.
Ia merupakan satu penderitaan yang bukan sebarangan," cerita Rosliana kepada Sihat:Aktif baru-baru ini.
Selepas x-ray dijalankan, pakar mengesahkan bahawa dirinya berdepan dengan masalah slipped disc dan penyakit itu diklasifikasikan agak serius.
Slipped disc beliau berada pada tahap empat! Hal itu telah memaksanya menangguhkan pengajiannya ekoran limitasi pergerakan.
Berdasarkan kenyataan Pusat Nasional Informasi Bioteknologi, Amerika Syarikat, dalam 1,000 kes yang dilaporkan, kira-kira lima hingga 20 pesakit dalam kalangan orang dewasa berdepan dengan penyakit itu.
Pakar Ortopedik, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Dr Ahmad Mahyuddin Mohamed pula memberitahu Sihat:Aktif, hampir 70 peratus manusia dewasa akan mengalami sakit itu pada satu masa tertentu. Lazimnya pada mereka yang berusia lewat pertengahan 30-an dan pada usia emas.
Simptom
Mengulas lanjut, Dr Ahmad Mahyuddin berkata, slipped disc terjadi apabila bahagian disc atau kusyen pelapik tulang belakang beralih tempat, membonjol ke belakang lantas menekan bahagian saraf tunjang atau saraf akar tulang belakang seseorang.
"Bagi pengamal perubatan, kami menyebutnya sebagai Prolapsed intervertebral disc (PID) atau Herniated nuclus pulposus," katanya. Jelasnya lagi, disc tulang belakang seorang manusia terdiri daripada dua bahagian utama iaitu Annulus fibrosus dan Nucleus pulposus.
Ia berfungsi sebagai pelapik (antara ruas tulang belakang) dan bertindak sebagai penyerap tekanan serta membenarkan pergerakan berlaku."Masalah slipped disc akan berlaku sebaik struktur Annulus fibrosus kita terkoyak dan hal ini membolehkan Nucleus pulposus menerobos keluar dan menekan struktur saraf," terangnya.
Memudahkan penjelasan, Dr Ahmad Mahyuddin berkata, antara tanda-tanda awal seseorang mengalami masalah itu apabila mula rasa sakit belakang yang kemudiannya menjalar ke bahagian belakang punggung, paha dan kadangkala hingga ke betis.
"Lokasi kesakitan bergantung kepada lokasi tekanan saraf yang berlaku," katanya.
Pakar perubatan itu memberitahu, sekiranya tekanan saraf berada pada peringkat yang teruk, pesakit lazimnya akan mengalami rasa kebas pada sebelah atau kedua-dua kaki dan lemah otot kaki.
"Seseorang akan diklasifikasi dalam kategori serius apabila dia tidak lagi dapat mengawal kencing dan tercirit. Pesakit sebegini perlu menjalani pembedahan segera," katanya.
Kepada satu soalan, Dr Ahmad Mahyuddin berkata, terdapat beberapa keadaan yang menyebabkan berlakunya slipped disc.
Antaranya merujuk kepada situasi trauma seperti jatuh terduduk dan mengalami kemalangan termasuk mereka yang mengangkat bebanan yang berat.
"Sebagai contoh, seseorang terpaksa mendukung anak untuk tempoh masa yang lama termasuk kerja-kerja buruh yang sentiasa mengangkut barang," katanya.
Kadangkala terdapat juga situasi yang mana kita sendiri tidak perasaan bahawa tindak-tanduk kita boleh 'menjemput' penyakit itu.
Sebagai contoh, mengangkat barang ketika posisi membongkok, tidak menjaga postur badan semasa duduk dan pemanduan untuk tempoh masa yang lama terutamanya melalui jalan yang tidak rata.
Kepada atlet angkat berat, kecenderungan mereka berdepan dengan slipped disc juga tinggi.
Menurut Dr Ahmad Mahyudin, berdasarkan kajian dunia perubatan, individu obes dan golongan perokok juga berpotensi mendapat masalah itu.
"Penting untuk kita ketahui, kesakitan pada saraf yang teruk boleh menyebabkan seseorang lumpuh," ujarnya.
Rawatan
Ada teori menyebut, tiada rawatan untuk slipped disc?
Sejauh mana kebenaran kenyataan itu?
Bagi menjawab keraguan berkenaan, Sihat:Aktif mendapatkan pandangan Pakar Ortopedik, Hospital Islam Az-Zahrah, Dr Azaiddin Akasah.
Pakar itu berkata, kebanyakan pesakit boleh dirawat dengan teknik konservatif.
"Dalam hal ini, pesakit akan dinasihatkan mengambil masa untuk berehat dan mengambil ubat analgesia untuk mengurangkan rasa sakit pada bahagian belakang badan selain mengambil vitamin saraf.
"Kaedah lain pula, pesakit boleh berjumpa fisioterapi untuk mengurangkan rasa sakit dan melakukan rehabilitasi.
Namun, jika rawatan konservatif tidak berjaya, terdapat rawatan invasif yang biasa dicadangkan," ujarnya.
Rawatan yang dimaksudkan beliau adalah dengan melakukan suntikan pada saraf tunjang seperti (suntikan) steroid dan Radiofrequency nerve ablation.
Pembedahan juga akan disarankan jika rawatan konservatif gagal.
"Bagi mereka yang mengalami lemah otot, bermasalah untuk berjalan dan tidak boleh mengawal deria untuk membuang air kecil atau besar, biasanya kaedah invasif akan dilaksanakan,” jelas sambil memberitahu tiada suplemen khusus dapat membantu rawatan slipped disc.
Bagaimana pula dengan rawatan alternatif sepertu akupuntur, urutan dan penggunaan katil khas yang dikatakan boleh membantu pesakit slipped disc?
"Itu semua hanya melegakan sakit tetapi tidak boleh mengubah kedudukan disc yang sudah terkeluar,” jawabnya.
Rawatan slipped disc tanpa pembedahan
SEORANG pesakit slipped disc yang enggan melakukan pembedahan boleh melakukan pendekatan lain iaitu melalui teknik fisioterapi.
Namun seperti kata Pakar Ortopedik, Hospital Islam Az-Zahrah, Dr Azaiddin Akasah, kaedah itu hanya boleh melegakan tetapi tidak berupaya menyembuhkan.
Pakar Fisioterapi dari Fisioterapi Physiomobile yang terletak di Shah Alam, Selangor, Nurul Farahena Edora Jeffry berkata, lazimnya pihaknya akan memainkan peranan untuk menguatkan otot belakang dan abdominal pesakit.
"Cara berkenaan, insya-ALLAH akan mengekal dan meningkatkan julat pergerakan badan sekali gus membantu pesakit melakukan aktiviti harian secara maksimum tanpa rasa sakit, lebih sihat dan cergas seperti biasa," katanya.
Ujar Nurul Farahena, beliau akan melakukannya secara hands-on terhadap pelanggannya. Beliau antara lain akan melakukan fisioterapi dengan melepaskan saraf yang terhimpit oleh otot, menggerakkan sendi pada tulang belakang dan menguatkan otot belakang serta perut.
"Satu kaedah yang kerap saya gunakan adalah rawatan terapi haba iaitu merujuk kepada teknik melembutkan otot mengeras dan menghimpit saraf.
Selain itu, rawatan yang turut dilaksanakan yang mana selalu diaplikasi oleh ahli terapi yang bertauliah ialah joint mobilization, teknik mulligan, mckenzie, cyriax dan soft tissue manipulation," jelasnya.
Kos bagi setiap rawatan ujar beliau, bergantung kepada tahap slipped disc seseorang pesakit.
"Pesakit biasanya memerlukan rawatan yang berterusan dan dipantau rapi oleh ahli fisioterapi sekurang-kurangnya untuk 10 sesi rawatan.
Anggaran kos rawatan pula berjumlah RM1050 bersamaan RM105 untuk satu sesi," katanya.
ANEKDOT
PENYAKIT Slipped Disc
Sakit belakang yang menjadi punca kepada slipped disc berlaku dalam beberapa keadaan seperti:
- Perubahan pada disc.
- Kecederaan otot.
- Postur tidak betul.
- Patah tulang belakang.
- Kelemahan otot stabiliti.
ANTARA GEJALA:
- Sakit belakang.
- Sindrom sciatica (rasa sakit, lemah dan kebas pada bahagian belakang anggota bawah).
- Cauda equina syndrome.(kegagalan mengawal air besar atau air kencing)
KLASIFIKASI PENYAKIT:
- Sakit belakang akut: Sakit yang dialami dalam tempoh satu hari hingga tiga bulan.
- Sakit belakang kronik: Sakit yang dialami melebihi tiga bulan.
- Sakit belakang berulang: Sakit yang berulang dalam tempoh kurang dari tiga bulan.
KOMPLIKASI
Penyakit slipped disc boleh membahayakan nyawa jika tidak dirawat dengan segera.
Antara komplikasi yang bakal mendepani pesakit:
Kecederaan yang kekal pada saraf)
- Menyebabkan keputusan impulse kepada saraf (cauda equina) yang mana seseorang kehilangan kawalan pada pundi kencing dan sistem usus
- Berdepan dengan masalah Saddle anaesthesia iaitu satu situasi pesakit akan kehilangan deria rasa pada bahagian dalam paha, belakang kaki dan dubur.
PENCEGAHAN:
Pastikan postur yang betul dalam semua posisi semasa duduk, berdiri, baring atau semasa melakukan aktiviti seharian dengan mengambil kira perkara-perkara berikut:
i. Semasa baring
- Pilih tilam yang tegap (firm). Ini dapat menyokong tulang belakang dengan baik.
- Posisi yang dicadangkan-mengiring dan melengkung tubuh ke hadapan dengan bantal di antara dua lutut.
ii. Semasa berjalan
- Memakai kasut bertumit rendah yang selesa.
iii. Semasa duduk
- Menggunakan kerusi bersandar (back rest) yang boleh menyokong tulang belakang dengan baik.
- Gunakan bantal kecil atau lumbar roll untuk menyokong bahagian belakang.
iv. Semasa berdiri
- Sekiranya berdiri terlalu lama, rehatkan satu kaki secara bergilir- gilir di atas bangku kecil yang rendah.
- Gunakan teknik mengangkat atau mengalih yang betul.
- Lakukan senaman secara tetap.
- Menjaga berat badan.
Sumber: www.myhealth.gov.my & www.doctoroncall.com.my