DUA kes melibatkan pemilikan senjata api secara haram terbaharu yang dilaporkan media boleh mengundang kerisauan rakyat mengenai tahap keselamatan negara.
Pada 27 Mac lalu seorang warga Israel yang ditahan bersama enam pucuk pistol dan 200 butir peluru di sebuah hotel di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Kemudian, pada Ahad seorang lelaki melepaskan tembakan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menyebabkan seorang pengawal peribadi kritikal.
Perkara tersebut menimbulkan tanda tanya bagaimana mereka dapat membeli atau memiliki senjata api dengan mudah sedangkan undang-undang Malaysia jelas mengharamkan pemilikannya tanpa mempunyai lesen dan permit.
Besar kemungkinan senjata berkenaan dibeli daripada pasaran gelap yang diseludup masuk dari negara lain.
Justeru, pasukan keselamatan yang menjaga sempadan negara perlu lebih peka dan meningkatkan kawalan supaya senjata api yang dirancang untuk diseludup tidak masuk ke negara ini.
Sebenarnya isu senjata api memberi kesan besar kepada negara selain keselamatan awam penduduknya, sektor ekonomi seperti pelabur dan pelancongan juga bakal menerima tempias.
Sebagai contoh dalam kes terbaharu, walaupun tembakan dilepaskan atas sebab peribadi dengan menyasarkan individu tertentu tetapi ia berlaku di tempat awam yang mendatangkan risiko kepada orang lain terutama di pintu masuk negara.
Ia melibatkan soal keyakinan terhadap jaminan keselamatan lebih-lebih lagi maklumat di hujung jari dan tersebar luas ke seluruh dunia dalam masa singkat.
Timbul juga persoalan adakah mereka menjual dan memiliki senjata api secara haram ini tidak takut dengan undang-undang serta hukuman yang bakal dihadapi.
Walaupun dikatakan situasi Malaysia tidak seteruk Amerika Syarikat yang merekodkan 25,000 orang maut berkaitan senjata api tahun lalu tetapi nyawa individu tidak bersalah tidak sepatutnya menjadi pertaruhan.
Mungkin pindaan terhadap Akta Senjata 1960 bagi mereka memiliki atau membawa senjata tanpa permit sah wajar dilakukan dengan mengenakan hukuman lebih berat kepada pesalah sebagai pengajaran.
Selain itu tahap keselamatan di tempat awam juga perlu ditingkatkan ketika ini bagi meredakan sedikit kerisauan orang ramai berhubung isu serangan menggunakan senjata api yang baru berlaku.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28