JAKARTA - Demi pulang ke kampung untuk meraikan lebaran, ada 'pemudik' di Indonesia dilaporkan sanggup menyewa ambulans.
Rakaman insiden itu turut menjadi tular di media sosial selepas dikongsi pemilik akaun @kamerapengawas.id di Instagram.
Rancangan tersebut kantoi setelah ambulans yang kelihatan mencurigakan itu diarahkan berhenti untuk pemeriksaan oleh pihak berkuasa di laluan keluar tol Parungkuda, Kabupaten Sukabumi, Jawa Barat pada Isnin.
Menurut jurucakap polis, Tony Prasetyo, terdapat dua ambulans yang melawan arus ketika pihak berkuasa mengawal laluan sehala khas untuk pengguna jalan raya yang 'mudik'.
"Pemeriksaan pada ambulans pertama mendapati ia membawa pesakit kritikal. Tetapi, ambulans kedua rupa-rupanya dinaiki asisten rumah tangga (ART) dan seorang pemandu yang mahu pulang ke kampung dari Bogor ke Sukabumi," jelasnya.
Tambahnya, kedua-dua individu itu kemudiannya memohon maaf dan berjanji tidak akan mengulangi lagi kesilapan itu.
"Kami hanya beri peringatan dan melepaskan mereka untuk meneruskan perjalanan ke destinasi," ujarnya. - Agensi
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28