Peringatan buat penganjur rumah terbuka!

Iklan
Majlis rumah terbuka boleh mengeratkan lagi hubungan, memberi peluang pemimpin berdamping dengan orang kebanyakan selain peluang menjana pendapatan kepada pengusaha makanan. Gambar fail Bernama

SUDAH lebih seminggu kita meraikan Aidilfitri, pasti ketika ini banyak undangan rumah terbuka yang diterima dan bersusun hingga berakhirnya Syawal nanti.

Maklumlah, rayakan sebulan. Bukan sahaja Syawal diraikan sebagai hari kemenangan selepas sebulan menahan nafsu, lapar dan dahaga namun ia diraikan seperti pesta makanan, masa untuk melaram sakan dan peluang reunion dengan kawan yang lama berjauhan.

Iklan
Iklan

Yang baiknya melalui majlis rumah terbuka ini ia boleh mengeratkan lagi hubungan, memberi peluang pemimpin berdamping dengan orang kebanyakan selain peluang menjana pendapatan kepada pengusaha makanan.

Kesempatan ini lah kita dapat menikmati pelbagai hidangan dan jamuan istimewa, kebanyakan yang disajikan seperti lemang, rendang, lontong, kari, laksa, mi, kek dan bermacam lagi.

Iklan

Yang selalu menjadi pilihan ramai pastinya hidangan sate, kambing golek, apam balik, ais kacang, rojak serta pelbagai menu yang tradisi lain.

Tak kisah penganjuran rumah terbuka berskala kecil atau jemputan ribuan orang diharap isu pembaziran, kebersihan makanan dan tujuan bersilaturahim antara tuan rumah dengan tetamu dapat dicapai terutama bila mengundang anak-anak yatim atau orang kurang upaya (OKU) di majlis berkenaan.

Iklan

Kalau sebelum ini kita asyik terkenangkan nasib rakyat Palestin yang terseksa dengan perang serta kesusahan mendapatkan makanan bagi menjalani kehidupan mereka, jangan lah dengan penganjuran rumah terbuka nanti kita membazir pula dan lupa terus dengan mereka yang sedang derita.

Ingat, mak selalu pesan membazir ni amalan syaitan. Jangan terlalu ikut nafsu nak ambil semua makanan disediakan tuan rumah sedangkan kita tak mampu habiskan pun dan akhirnya ke tong sampah juga sisa makanan termasuk yang sedikit pun terusik.

Bab kebersihan makanan pula, jangan disebabkan hidangan di rumah terbuka kita menjadi punca esok ramai yang cirit-birit dan keracunan pula.

Berkenaan jemputan melibatkan anak-anak yatim, warga tua atau orang kurang upaya, harap pihak penganjur janganlah ‘sidai’ mereka lama-lama semata-mata nak tunggu kehadiran tetamu orang kenamaan (VIP) baru nak mula acara serta santapan untuk semua.

Jemput mereka sejam dua awal kononnya untuk persiapan dan alasan tertentu tapi disebabkan tetamu istimewa belum tiba pihak lain pula yang jadi mangsa melangut dan penunggu.

Kesianlah kat orang tua dan golongan OKU itu. Dengan cuaca tak menentu dan kehadiran ramai pasti ada rasa tak selesa bila ‘disidai’ begitu sahaja demi memenuhi jemputan dan menanti pemberian duit raya.

Lagi satu peringatan! Jangan disebabkan nak mudah dan jimat selamba saja gunakan bekas polistirena dan bahan plastik untuk hidangan.

Ini bertentangan dengan misi kerajaan negeri dalam menjadikan Pulau Pinang bersih, hijau dan selamat.

Tak lupa soal kebersihan dan sampah bertimbun-timbun selepas makan, memandangkan kebiasaannya majlis seperti ini menyediakan pinggan mangkuk pakai buang.

Setiap tetamu pula tidak hanya menggunakan satu pinggan kerana masing-masing mahu menikmati semua hidangan disediakan seolah-olah tiada lagi hari esok untuk mereka.

Sediakanlah tong atau plastik sampah yang mencukupi dan jangan biar bersepah di penjuru tertentu hingga menimbulkan rasa rimas dan loya pula pada tetamu yang lewat tiba.

Bagi tetamu pula, lepas makan dan selesai berswafoto dengan kenalan dan tuan rumah, apa salahnya kita kemas, bersihkan semula meja untuk keselesaan tetamu seterusnya.

Amalan mudah itu bukan sahaja akan jadi contoh pada tetamu lain malah akan menyenangkan pekerja ketering yang pasti tak menang tangan melayan bermacam kerenah tetamu jemputan.

Ambil peluang rumah terbuka ini untuk bertanya khabar dan eratkan hubungan sesama kita bukannya sibuk melayan TikTok dan skrol media sosial sambil menyantap hidangan di atas meja.

* Mohd Iskandar Othman adalah wartawan Sinar Harian Edisi Utara

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28