SHAH ALAM - Kemeriahan hari raya bagi kanak-kanak sudah semestinya di saat ahli keluarga mahupun rakan-rakan ibu bapa mengulurkan sampul berisi duit raya.
Bagaimanapun, keseronokan dalam berkongsi rezeki boleh dilakukan dalam pelbagai cara mengikut kreativiti masing-masing seperti melakukan cabutan bertuah mengikut nombor dan sebagainya.
Itulah yang dilakukan oleh seorang guru, Nur Fatin Syafika Mad Saad, 33, dalam menyemarakkan lagi semangat hari raya bersama keluarga.
Menurut guru yang bertugas di Sekolah Kebangsaan Seksyen 20 itu, dia mahu melakukan kelainan dalam memberikan duit raya kepada anak saudara.
"Selain itu, juga saya mahu mengabdikan memori kerana khuatir pada tahun akan datang, saya tidak dapat menyambut hari raya dengan orang yang sama,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Nur Fatin Syafika berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai rakaman viral di laman sosial, TikTok miliknya @trisyalatisya yang mendapat tontonan hampir 14 juta.
Jelasnya, dia menghabiskan RM200 untuk memberi duit raya kepada 18 orang anak saudaranya secara cabutan mengikut tuah masing-masing.
"Untuk permainan duit raya itu, saya menghabiskan wang sebanyak RM200 sahaja. Sebenarnya bukan nilai jadi taruhan tetapi kegembiraan keluarga itu yang penting.
"Keakraban adik beradik itu penting. Suasana dan kenangan itu tidak akan dapat saya beli. Jangan lihat kepada nilai tetapi lihat kepada kebahagian kami sekeluarga,” ujarnya yang beraya di Kamunting, Perak.
Tambahnya, kesemua anak saudaranya gembira dalam permainan berkenaan bahkan ada yang meminta untuk melakukannya pada tahun akan datang.
"Saya tanya mereka (anak saudara), kalian tak kisah ke dapat duit sikit macam ini? Tak macam tahun sebelum ini?
"Mereka kata tak kisah sebaliknya bersyukur dan mahu permainan itu diadakan pada raya yang akan datang kerana seronok. Saya rasa sejuk hati mendengar,” katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28