TIADA istilah mengalah dalam kamus perjuangan pemain beregu wanita negara Teoh Mei Xing, yang akan menggalas tanggungjawab sebagai atlet senior dalam mengharungi saingan Piala Uber 2024 di Chengdu, China pada 27 April hingga 5 Mei ini.
Pemain berusia 27 tahun itu, bagaimanapun mengakui sedikit terbeban dengan ketiadaan pasangan utama negara Pearly Tan-M. Thinaah dalam kejohanan berkenaan, apabila juara Terbuka Perancis 2022 itu memilih untuk memberi tumpuan dalam persiapan ke Sukan Olimpik Paris, bermula 26 Julai hingga 11 Ogos ini.
"Semua buat persediaan mereka dengan baik dan fokus untuk Piala Uber tidak kira perseorangan atau beregu. Sedikit tekanan dirasakan, tetapi saya percaya akan keupayaan rakan sepasukan dan akan membuatkan penonton gembira dengan permainan kami dan kami tidak fikir banyak dan akan berikan apa yang termampu.
"Tentu sekali tiada yang mustahil, kita perlu yakin yang kita boleh lakukan, kita berjuang sehingga ke akhirnya (dan) kena percaya boleh pergi suku akhir, kalau terus mengalah, lebih baik tidak pergi langsung,” katanya selepas menjalani sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia baru-baru ini.
Mei Xing memaklumkan kem latihan pusat bermula hari ini (17 April), pastinya membantu pemain perseorangan dan beregu mengeratkan perpaduan serta persefahaman antara satu sama lain, apabila sebelum ini mereka mempunyai waktu latihan yang berbeza.
Mengulas mengenai gandingan beliau di Chengdu, Mei Xing memaklumkan beliau berkemungkinan akan dipasangkan dengan Go Pei Kee buat kali ketiga, selepas Cabaran Antarabangsa Bangladesh 2022 dan Terbuka Malaysia 2023.
Bagi saingan Piala Uber 2024, BAM turut menyenaraikan Goh Jin Wei, K. Letshanaa, Siti Nurshuhaini Azman, Wong Ling Ching, Siti Zulaikha Azmi, Go Pei Kee, Tan Zhing Yi, Ho Le Ee dan Chan Wen Tse, yang bakal berdepan tugasan berat apabila diundi dalam Kumpulan B bersama Thailand, Taiwan dan Australia. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28