PSM akan bekerja rapat dalam penerimaan rumput hibrid untuk SNBJ

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Selasa.

PERBADANAN Stadium Malaysia (PSM) akan bekerja rapat dengan pengurusan Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos di Larkin, dalam proses penerimaan rumput hibrid bagi Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

PSM dalam kenyataan hari ini memaklumkan ia susulan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail bersetuju untuk mendermakan rumput jenis hibrid bagi kegunaan padang SNBJ, selepas perjumpaan dengan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh serta Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Datuk Seri Windsor John.

Iklan
Iklan

"PSM menyembah takzim dan menjunjung kasih atas kurniaan Tunku Ismail, serta menyatakan iltizam untuk terus komited bagi menguruskan sebuah padang pelbagai guna yang berdaya tahan dan fleksibel untuk acara sukan dan bukan sukan.

"PSM sekali lagi menyatakan rasa sukacita yang tidak terhingga dan menjunjung tinggi kurniaan berpanjangan serta pertimbangan dan kebijaksanaan Tunku dalam menasihati PSM dalam mendepani segala cabaran mendatang,” menurut kenyataan itu.

Iklan

Menurut hantaran yang dimuat naik menerusi akaun Facebook JOHOR Southern Tigers malam tadi, Tunku Ismail bersetuju dengan sumbangan itu selepas kaji selidik yang dijalankan di padang SNBJ telah menunjukkan bahawa rumput hibrid lebih memenuhi keperluan stadium pelbagai guna kerana ketahanan dan fleksibilitinya untuk pelbagai acara.

Ia turut didorong oleh kejayaan penyelidikan yang dijalankan oleh kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos.

Iklan

Sementara itu, rumput Zeon Zoysia yang didermakan oleh Tunku Ismail kepada SNBJ sebelum ini, akan dibuka dan dipasang di padang Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil.

Ini merupakan kali kedua Tunku Ismail, yang juga pemilik JDT, membantu Stadium Nasional selepas menghadiahkan rumput Zeon Zoysia yang ditanam awal tahun lepas, menggantikan rumput jenis Cow Grass.

Namun, kualiti rumput di gelanggang keramat skuad Harimau Malaya itu, kerap menjadi topik hangat selepas beberapa kali berada pada tahap tidak memuaskan setelah penganjuran konsert, terutamanya sebelum aksi final Piala Malaysia 2023 dan beberapa perlawanan melibatkan pasukan kebangsaan

Masalah yang berlarutan itu, menyaksikan Kementerian Belia dan Sukan mengeluarkan moratorium jangka pendek untuk menghalang sebarang pemasangan struktur pentas yang melibatkan persediaan konsert di padang SNBJ sehingga kondisi rumput mencapai tahap yang baik. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28