KOTA BHARU - Seorang pemandu jengkaut terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Tinggi di sini menggantikan hukuman itu dengan penjara 38 tahun dan 12 sebatan kerana membunuh seorang wanita, 16 tahun lalu.
Zulhisham Fadly Mohamad, 43, dijatuhi hukuman itu selepas mahkamah menerima permohonan tertuduh yang dibuat di bawah seksyen 3(1) Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023.
Zulhisham Fadly membuat permohonan berkenaan bertarikh 21 September 2023.
Panel tiga hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan sebulat suara mengetepikan hukuman mati terhadap Zulhisham Fadly.
Sebelum itu, Zulhisham Fadly dijatuhi hukuman gantung oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 17 April 2011 selepas didapati bersalah membunuh seorang wanita yang juga pemandu van sekolah, Zaiton Muhamad, 55.
Zulhisham Fadly didakwa membunuh dan mengebumikan mangsa yang juga Ketua Wanita UMNO Cawangan Kampung Bakau Tinggi di kebun milik Majlis Perbandaran Kemaman manakala kereta mangsa yang dikemekkan ditanam di tapak semaian bunga di Kampung Mak Chili, kira-kira 14 kilometer dari tempat mayatnya ditemui.
Mayat Zaiton ditemui pada 21 April 2008, enam hari selepas kehilangannya dilaporkan kepada polis.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fuad Abdul Aziz, manakala tertuduh diwakili peguam, Mazlan Md Zain.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara kepada tertuduh bermula dari tarikh tangkap iaitu pada 21 April 2008.
Pada Persidangan Mahkamah Persekutuan, seramai 27 lagi tertuduh termasuk membabitkan kesalahan dadah diketepikan hukuman mati melalui semakan semula hukuman mati.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28