KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan tidak menolak risiko berlakunya mendapan tanah ekoran penggunaan telaga tiub yang berleluasa di negeri ini.
Exco Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Dr Izani Husin bagaimanapun berkata, setakat ini tidak berlaku lagi kejadian seumpama itu.
"Dari segi teori ia boleh berlaku. Tetapi tidak berlaku lagi setakat ini.
"Di peringkat Kelantan pun kita telah cuba menilai semula mengenai sumber air daripada telaga tiub serta sungai," katanya semasa sidang akhbar pada Rabu.
Sebelum itu, beliau bersama Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud meraikan sambutan hari raya di peringkat Kota Darulnaim di sini.
Menurut Dr Izani, pihaknya juga sedang membuat kajian yang mana lebih jimat dan serta mudah untuk dirawat serta airnya tidak putus.
Ujarnya, setakat ini telaga tiub menjadi pilihan, namun untuk jangka masa panjang pihaknya sedang berfikir untuk menilai balik kelebihan dan kelemahan perkhidmatan tersebut.
Beliau memberitahu, setakat ini terdapat 42 biji telaga tiub yang digunakan oleh kerajaan negeri untuk mendapatkan sumber air.
Dr Izani berkata, kebanyakan punca air bawah tanah di negeri ini mempunyai kandungan semula jadi seperti ferum, magnesium dan klorin.
Katanya, situasi itu menyebabkan kerajaan negeri berdepan dengan kos yang tinggi dalam merawat sumber air berkenaan.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Kelantan melahirkan rasa kebimbangan terhadap fenomena penggalian telaga tiub di negeri ini yang dikhuatiri boleh mengundang risiko berlakunya mendapan tanah.
Yang Dipertuanya, Mohd Syahiran Muhammad berkata, aktiviti tersebut juga boleh menyebabkan ketinggian tanah di negeri itu berada di bawah paras laut dan pelbagai lagi impak negatif.
"Walaupun ianya menjamin sumber air kepada penduduk namun amat berbahaya kepada alam sekitar jika aktiviti penggalian telaga tiub tidak dikawal.
"Hal ini berpandukan kepada laporan akhbar tempatan sebelum ini, lebih 50 peratus penduduk Kelantan bergantung dengan penggunaan air melalui telaga tiub kerana masalah bekalan air di negeri ini," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28