SHAH ALAM - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan titah adendum atau tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Titah adendum itu supaya Najib dapat menghabiskan baki hukuman penjara dengan tahanan di rumah.
Ahmad Zahid menyokong dakwaan itu menerusi afidavit yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 April lalu setelah melihat dan membaca titah adendum itu dan jelas dengan isi kandungannya.
Beliau mendakwa telah dimaklumkan mengenai kewujudan titah itu oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, pada 30 Januari lalu.
"Pada 30 Januari 2024 semasa pertemuan di rumah saya di Country Heights dengan Yang Berhormat Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, saya telah dimaklumkan oleh beliau tentang kewujudan titah adendum.
"Apabila saya menyoal lebih lanjut, beliau kemudiannya menunjukkan kepada saya salinan titah adendum tersebut pada telefonnya yang beliau ambil gambar/imbas sendiri daripada salinan asal seperti yang ditunjukkan kepadanya oleh Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI.
"Kandungan titah adendum secara jelas menyatakan bahawa pemohon dibenarkan untuk menjalani hukumannya yang dikurangkan, kepada 'tahanan rumah' dan bukannya secara pemenjaraan seperti sekarang di Penjara Kajang.
"Saya juga melihat bahawa titah adendum itu bertarikh 29 Januari 2024 dan mempunyai meterai dan tandatangan Yang di-Pertuan Agong XVI. Saya seterusnya mengesahkan bahawa titah adendum itu adalah tulen dan sebenarnya adalah Titah Prerogatif Diraja sama seperti titah utama," menurutnya memetik afidavit tersebut.
Menerusi afidavit itu juga, Ahmad Zahid berkata, beliau telah membaca titah adendum, serta melihat dengan jelas semua kandungannya dan percaya bahawa ia adalah sebahagian daripada proses pengampunan Najib yang menjadi tambahan kepada titah utama, kedua-duanya bertarikh 29 Januari 2024.
"Justeru, saya dengan ini mengesahkan kewujudan titah adendum bertarikh 29 Januari 2024 yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong (ketika itu).
"Saya juga percaya, selain saya dan Tengku Zafrul, anggota kerajaan yang lain sudah melihat titah adendum itu. Secara khusus, saya sedar bahawa Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail juga sudah melihat salinan titah adendum dan boleh mengesahkan perkara sama," katanya.
Bagaimanapun jelas Ahmad Zahid, beliau tidak mempunyai salinan titah adendum bertarikh tersebut kerana atas alasan-alasan kerahsiaan dan kewajaran, terutamanya memandangkan titah adendum pada masa itu belum dilaksanakan.
"Saya bagaimanapun mengesahkan bahawa perkara yang sama adalah dalam milikan kolektif responden-responden. Saya selanjutnya dengan sesungguhnya dimaklumkan bahawa Peguam Negara mempunyai satu salinan asal atau hanya salinan titah adendum untuk pertimbangan undang-undang beliau," katanya.
Pada 4 April lalu, peguam bela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan seorang 'saksi penting' dijangka memfailkan afidavit bagi menyokong semakan kehakiman Najib untuk menghabiskan baki tempoh hukuman penjara enam tahun dalam kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta dengan tahanan di rumah.
Beliau memohon kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman bagi pelaksanaan apa yang didakwa sebagai titah adendum (tambahan) Yang di-Pertuan Agong yang dikaitkan dengan keputusan Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara 12 tahun kepada enam tahun dan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta terhadapnya.
Bagaimanapun pada Selasa, media tidak dibenarkan membuat liputan prosiding yang berlangsung di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Ketika prosiding di hadapan Hakim Datuk Amarjeet Singh, Muhammad Shafee memohon supaya prosiding itu dijalankan secara dalam kamar, memandangkan ada isu sensitif.
Hakim kemudian membenarkan prosiding fizikal mahkamah diisytihar secara dalam kamar yang hanya boleh dihadiri pasukan pembelaan Najib dan wakil responden.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!