GEORGE TOWN - Trend penurunan paras Sungai Muda yang melibatkan pengoperasian Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Petani/Pinang Tunggal yang dilaporkan pada Selasa tidak akan melibatkan pengguna di Pulau Pinang.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, trend penurunan dan berisiko berlakunya gangguan bekalan air melibatkan pengguna di daerah Kuala Muda, namun tidak akan berlarutan sehingga ke negeri ini.
Bagaimanapun kata Kon Yeow, kerajaan Pulau Pinang memantau rapi paras air di Sungai Muda yang mengalami penurunan berikutan kemarau yang berterusan.
Ini kerana, Pulau Pinang mendapat 80 peratus bekalan air daripada Sungai Muda.
"Sungai Muda dikawal oleh dua empangan jadi saya percaya, pihak bertanggungjawab memastikan bekalan air mencukupi untuk tujuan pertanian dan juga rawatan (air).
"Ini kerana, Pulau Pinang adalah lokasi terakhir di sepanjang Sungai Muda. Memang paras ada turun naik, kita akan terus memantau. Kalau paras air di LRA Sungai Petani/Pinang Tunggal turun pun, kita masih dapat pam air.
"Saya tak mahu kata (rakyat Pulau Pinang) tak perlu risau sebab air itu satu komoditi bernilai, tak ada air, tak ada nyawa lah," katanya ketika melancarkan Majalah inPenang 100th Issue di sini pada Rabu.
Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) melalui laman Facebooknya memaklumkan paras air Sungai Muda yang melibatkan operasi LRA Sungai Petani/Pinang Tunggal menunjukkan trend menurun dan berisiko mengalami gangguan bekalan air untuk pengguna di daerah Kuala Muda
Menurut kenyataan itu, penurunan paras air Sungai Muda berpunca daripada musim kemarau yang berpanjangan sehingga mengakibatkan pengurangan air mentah.
"Bagi mengatasi perkara itu, pihak berkuasa telah meningkatkan pengeluaran dari Empangan Beris bagi menstabilkan paras air Sungai Muda.
"Sehingga kini LRA yang terlibat masih beroperasi 100 peratus, namun pihak SADA menyarankan agar pengguna dapat melakukan persediaan awal dengan menyimpan bekalan air dan menggunakannya secara berhemah," katanya.
Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, di Pulau Pinang, pam untuk mengestrak air dipasang di kedudukan agak dalam agar ia mampu untuk mengepam air walaupun paras air di sungai menurun.
"Ini bermakna, sekiranya paras air di sungai menurun pun, kita masih boleh mengepam air untuk kegunaan pengguna. Kita juga ada membangkitkan isu ini kepada SADA agar mereka juga buat seperti kita.
"Ia bagi membolehkan air dipam keluar untuk dirawat sebelum disalurkan kepada pengguna.
"Sepatutnya paras air di hulu Sungai Muda (Kedah) lebih tinggi daripada di hilir (Pulau Pinang), sebab utama adalah paras pam dipasang tidak cukup dalam ke sungai," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28