KUALA TERENGGANU - Walaupun sambutan perayaan Aidilfitri telah berlalu, namun masih tular di media sosial mengenai layanan istimewa diterima pengguna jalan raya yang berdepan kesesakan luar biasa ketika pulang ke ibu kota.
Seorang pengguna media sosial, Nik Khairuddin Nik Salleh berkongsi 14 tangkap layar perkongsian yang berpuas hati terhadap layanan istimewa diberikan penduduk kampung di Terengganu walaupun mereka terpaksa meredah kesesakan lalu lintas ketika melalui jalan tersebut.
"Pagi tadi jam 2 pagi singgah di masjid berdekatan Kampung Fikri dan pihak masjid sediakan air teh ais dengan masak mi segera," ujar pemilik Facebook bernama Azlan A Rahman.
"Orang kampung di kawasan ini memang terbaik. Ada siap budak-budak tolong tunjukkan jalan pintas nak elak kesesakan lalu lintas pada waktu malam.
"Ada orang kampung jaga supaya tak silap masuk jalan," kata pemilik Facebook bernama Wan Dauz.
"Semalam terperangkap kesesakan lalu lintas selama tiga jam dari Kampung Fikri ke Kampung Saujana.
"Semua air minuman dah habis dan sampai di Kampung Saujana, orang kampung beri air mineral dan kuih raya. Terima kasih orang Kampung Saujana dan semoga dimurahkan rezeki," kata pemilik Facebook bernama Palie Fadli.
"Kami terperangkap dalam kesesakan lalu lintas dan memang betul orang kampung di sana baik-baik semuanya. Ada beri tembikai dan air minuman," ujar pemilik Facebook bernama Maria N Fazil.
"Alhamdulillah...ada orang edar buah tembikai percuma sewaktu kesesakan lalu lintas selama tiga jam di kawasan Setiu.
"Terima kasih kepada orang Kampung Saujana. Negeri yang cantik dan orangnya pun baik-baik. Sememangnya 'Amazing Terengganu'," ulas pemilik Facebook bernama Abe Eym.
Sebelum ini, aliran trafik di lebuh raya dari Pantai Timur menghala ke ibu kota dilaporkan sesak di beberapa laluan di lebuh raya utama berikutan pertambahan jumlah kenderaan pada Ahad lalu.
Pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), ANIH Berhad dalam laporan pada 5 April lalu menjangkakan hampir 2.83 juta kenderaan akan menggunakan dua lebuh raya berkenaan sempena Aidilfitri.
Pengurus Besar Kanan ANIH Berhad, Datin Radzimah Mohd Radzi berkata, pihaknya menjangkakan peningkatan aliran trafik secara berperingkat ke Pantai Timur bermula hari ini hingga 9 April, manakala menghala ke arah Barat dari 11 April hingga 15 April ini.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28