YANGON - Pemimpin prodemokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi dipindahkan dari penjara ke tahanan rumah pada Rabu setelah junta tentera mengumumkan langkah untuk melindungi banduan daripada gelombang haba ekstrem yang sedang melanda negara itu.
"Suu Kyi dan bekas Presiden, Win Myint telah diletakkan di bawah tahanan rumah,” kata jurucakap junta, Zaw Min Tun sambil menambah 'keistimewaan' itu turut diberikan kepada beberapa banduan warga emas memandangkan cuaca panas luar biasa.
Suhu di ibu kota Naypyidaw di mana beliau ditahan dilaporkan mencecah 41 darjah Celsius dan ia dijangka berterusan sehingga minggu depan.
Ketika ini, penerima Hadiah Nobel Keamanan berusia 78 tahun itu sedang menjalani hukuman penjara 27 tahun atas beberapa siri pertuduhan termasuk rasuah dan melanggar peraturan Covid-19.
Suu Kyi tidak lagi muncul di khalayak ramai sejak beliau ditahan setelah insiden rampasan kuasa pada 2021 dan dilaporkan turut mengalami masalah kesihatan.
Bagaimanapun, masih tidak jelas tempoh sebenar beliau akan dikenakan tahanan rumah atau langkah itu sebenarnya bermakna hukumannya dikurangkan.
Media tempatan melaporkan Suu Kyi mengalami pening dan muntah-muntah malah beliau juga mengalami kesukaran untuk makan kerana jangkitan gigi.
Sebelum ini, beliau pernah menjalani tahanan rumah selama 15 tahun di kediaman keluarganya di hab komersial Yangon selepas menjadi ikon demokrasi pada 1988.
Dalam perkembangan berkaitan, junta turut memberikan pengampunan kepada kira-kira 3,300 tahanan termasuk 13 rakyat Indonesia dan 15 warga Sri Lanka yang akan dideportasi.
Di luar Penjara Insein di Yangon, kira-kira 200 hingga 300 ahli keluarga berkumpul untuk menyambut pembebasan golongan tersebut. - AFP
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28