Tengku Zafrul akan mohon kebenaran betulkan kesilapan fakta afidavit Ahmad Zahid

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Rabu. Tengku Zafrul (kanan).

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akan mendapatkan nasihat undang-undang dan membuat permohonan kepada Mahkamah Tinggi untuk meminta kebenaran memfailkan afidavit bagi memperbetulkan beberapa kesilapan fakta dalam afidavit yang diikrarkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Tindakan itu dipercayai susulan permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak yang mencabar kewujudan titah adendum atau tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16, supaya bekas Perdana Menteri itu menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.

Iklan
Iklan

"Pendirian saya bukan untuk mempertikaikan merit isu yang sedang berlangsung. Saya ingin memastikan fakta sebenar direkodkan dengan betul supaya semua pihak, khususnya Mahkamah Tinggi dapat menilai kesemua fakta material dengan sewajarnya.

"Ini akan membolehkan keputusan yang adil dan saksama dibuat demi kepentingan semua pihak yang terlibat," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Iklan

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan bekas Ahli Parlimen Pekan itu bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan titah adendum atau tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Titah adendum itu supaya Najib dapat menghabiskan baki hukuman penjara dengan tahanan di rumah.

Iklan

Ahmad Zahid menyokong dakwaan itu menerusi afidavit yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 April lalu setelah melihat dan membaca titah adendum itu dan jelas dengan isi kandungannya.

Beliau mendakwa telah dimaklumkan mengenai kewujudan titah itu oleh Tengku Zafrul pada 30 Januari lalu.

Sementara itu, Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan akan membawa permohonan Tengku Zafrul berhubung afidavit tambahan itu kepada perhatian mahkamah.


Isham Jalil persoal tindakan Tengku Zafrul mahu betulkan fakta dalam afidavit

SHAH ALAM - Tindakan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang mahu membuat permohonan bagi memperbetulkan beberapa fakta dalam afidavit berhubung titah adendum menimbulkan tanda tanya.

Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil berkata, pihaknya turut mempersoalkan tindakan tersebut selepas afidavit difailkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkaitan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 April lalu.

"Zafrul ingin cakap apa dalam afidavit dia dan apa fakta yang dia ingin betulkan?

"Adakah dia ingin betulkan apa yang Ahmad Zahid kata dan afidavit itu tidak tepat atau menipu?” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Ahmad Zahid mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan titah adendum atau tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Titah adendum tersebut dibuat supaya Najib dapat menghabiskan baki hukuman penjara dengan tahanan di rumah.

Isham mendakwa, selepas bekas ahli Parlimen Pekan itu memfailkan saman dan isu mengenai adendum keluar, ada pihak yang seakan-akan ‘kalut’ untuk membuat afidavit.

"Sepatutnya Ahmad Zahid buat kenyataan terbuka berkenaan perkara ini dua bulan lepas, bukan sekarang selepas jadi kes mahkamah dan mereka boleh disapina," katanya.

"Syabaslah lakonan geng ubi dan Semangat 47."Yang bijak Najib, dia bawa perkara ini ke mahkamah supaya boleh lihat siapa ‘kawan’ yang main wayang dan menipu,” ujar beliau.


Kerajaan perlu beri penjelasan - UMNO Kelantan

KOTA BHARU - UMNO Kelantan mendesak kerajaan supaya menjawab isu dokumen afidavit tambahan nombor tiga yang telah ditandatangani oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Timbalan Perdana Menteri pada 9 April lalu.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, pihaknya memandang serius perakuan di dalam para 5 (b) menyatakan dengan jelas responden enggan melaksanakan titah adendum bertarikh 29 Januari yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang bersetuju untuk pemohon, Datuk Seri Najib Tun Razak dibenarkan menjalani hukumannya di rumah dan bukannya secara pemenjaraan di Penjara Kajang seperti sekarang.

"Perkara ini sangat serius kerana responden akan dilihat mempermainkan titah Yang di-Pertuan Agong.

"Sekali gus menunjukkan contoh tauladan yang tidak baik sebagai sebuah kerajaan kepada rakyat," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut beliau, rakyat perlu tahu pendirian dan penjelasan kerajaan daripada sudut undang-undang serta takrifnya supaya tiada lagi pertikaian oleh semua pihak.

Ujarnya, UMNO Kelantan kekal dengan pendirian Ahmad Zahid yang dengan seikhlasnya kekal memperjuangkan pembelaan sepenuhnya terhadap Najib.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!