RUU Warga Emas: Ambil kira pengalaman Singapura, India dan AS

Iklan
Gambar hiasan - Foto 123RF

SHAH ALAM - Kerajaan perlu mengambil kira pengalaman, panduan atau undang-undang dalam mempertahankan hak warga emas bagi menangani keperluan populasi yang menua sepertimana dilaksanakan Singapura, India dan Amerika Syarikat (AS).

Ia berikutan kerajaan mengumumkan bakal membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Warga Emas di Parlimen pada tahun ini dan pengalaman negara berkenaan amat penting sebagai mekanisme serta panduan berharga dalam menyelesaikan masalah tersebut.

Iklan
Iklan

Presiden Majlis Peguam Malaysia, Mohamad Ezri Abdul Wahab berkata, ‘Tribunal for the Maintenance of Parents’ di Singapura menonjol sebagai institusi buat ibu bapa warga emas yang tidak mampu menyara diri sendiri.

Menurut beliau, peruntukan undang-undang melalui tribunal itu memberikan kuasa kepada ibu bapa untuk mendapatkan bantuan bagi memastikan anak-anak menyalurkan wang di samping menangani isu penderaan kewangan dan pengabaian.

Iklan

"Dengan menggabungkan peruntukan yang sama ke dalam RUU Warga Emas, Malaysia boleh mengambil pendekatan proaktif untuk melindungi hak dan kesejahteraan populasi terbabit.

"Demikian juga di India, ‘Maintenance and Welfare of Parents and Senior Citizens Act 2007’ direka untuk menangani keperluan warga emas melalui tribunal khusus iaitu kuasa untuk campur tangan yang memerlukan bantuan kewangan.

Iklan

"Di AS walaupun pendekatan berbeza, tetapi matlamat utamanya adalah memastikan kesejahteraan warga emas, anak-anak yang telah dewasa diwajibkan beri bantuan kewangan, mencerminkan komitmen terhadap keluarga dan sokongan antara generasi,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata demikian mengulas laporan media pada 10 April lalu, mendedahkan perjalanan hidup individu bernama Zainab bersama suaminya yang ditinggalkan sehingga menjadi gelandangan di hari-hari tua mereka walaupun sudah berkorban dan berusaha bertahun-tahun.

Mohamad Ezri turut menambah, proses mediasi juga boleh dipertimbangkan sebagai kaedah menyelesaikan perselisihan faham yang melibatkan warga emas menerusi dialog dan rundingan sehingga mencapai kata sepakat.

Ujarnya, mediasi mampu memberikan kuasa kepada ibu bapa warga emas untuk mengekalkan autonomi dan kebebasan dalam membuat keputusan tentang kebajikan.

"Dengan melibatkan mereka secara aktif dalam proses mediasi, keutamaan dan keinginan mereka dipertahankan. Ini mengekalkan maruah serta penghormatan dalam penjagaan warga emas.

"Mekanisme seperti ini perlu dikaji dan dimasukkan ke dalam Rang Undang-Undang Warga Emas yang dicadangkan,” ulas beliau.

Justeru, Mohamad Ezri memaklumkan, pihaknya melalui ‘Human Rights Committee’ dan ‘MyBar Ageing Rights Advisory’ (MBARA) bersedia untuk memberikan kepakaran serta sokongan diperlukan dalam usaha melaksanakan reformasi melindungi hak warga emas.

Menurutnya lagi, Badan Peguam Malaysia berada dalam kedudukan sesuai untuk berkolaborasi dengan pihak berkepentingan bagi membentuk RUU tersebut demi mempertahankan prinsip hak asasi manusia dan keadilan buat masyarakat.

"Melalui kerjasama dan komitmen teguh terhadap hak asasi manusia, kita boleh membina masyarakat yang menghormati, melindungi martabat serta kesejahteraan warga emas kerana kisah hidup seperti dilalui Zainab sudah terlalu banyak.” kata beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!