ALOR SETAR - Langkawi akan mengguna pakai model empangan air bawah tanah dari Jepun bagi mengatasi masalah bekalan air di pulau peranginan tersebut.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor berkata, ia merupakan penyelesaian jangka panjang berbanding membaik pulih paip dasar laut yang merupakan penyelesaian jangka pendek.
Menurutnya, sekiranya projek berkenaan dapat dilaksanakan, Langkawi akan muncul sebagai lokasi pertama menggunakan empangan air bawah tanah di negara ini.
"Sekarang sudah lulus di peringkat Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK), ia dicadangkan oleh agensi bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
"Model ini banyak digunakan di pulau-pulau di Jepun.
"Kos dianggarkan melebihi RM300 juta,” katanya ketika ditemui di Rumah Terbuka Aidilfitri Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Seri Norizan Khazali di sini pada Rabu.
Sanusi berkata, konsultan Jepun yang mencadangkan pembinaan empangan tersebut telah meninjau lokasi pertama yang dicadangkan iaitu di Padang Mat Sirat.
"Dimaklumkan tapak tersebut sesuai dengan adanya hamparan batu termasuk kawasan tepi dan bahagian bawah, dengan sungai di bahagian atas.
"Kita perlu sekat sahaja aliran untuk laksana empangan bawah tanah.
"Kita akan adakan lawatan ke Jepun untuk melihat model tersebut bagi memastikan ia benar-benar berkesan.
"Kita tak mahu belanja ratusan juta tetapi tidak berkesan.
"Jadi saya minta LSANK untuk aturkan lawatan ke tiga empangan di Jepun bersama wakil teknikal untuk buat tinjauan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Sanusi memaklumkan, bekalan air di Langkawi mencukupi setakat ini biarpun paras air Empangan Bukit Malut sedikit menurun.
"Buat masa ini, paip dasar laut sedang dibaik pulih, mungkin hujung tahun boleh selesai.
"Sekarang di peringkat konsultan melakukan penilaian sama ada ketebalan paip boleh terus digunakan atau perlu baik pulih, atau langsung perlu ditukar.
"Ini kerana terdapat 23 tempat bocor dan jarak tujuh kilometer itulah yang paling banyak.
"Penilaian daripada konsultan tersebut akan merumuskan sama ada ganti atau ‘clamp’ atau tukar paip baharu,” jelasnya.
Menurutnya lagi, penilaian terbabit sudah pun siap dan akan diserahkan kepada kerajaan negeri untuk tindakan selanjutnya.
"Selepas kita teliti penilaian tersebut, kita akan bincang semula dengan kementerian terlibat.
"Kita mohon pinjaman RM50 juta dan sekiranya tak mencukupi, perlu mohon lagilah,” katanya.
Sanusi memaklumkan, operasi hotel-hotel di Langkawi juga dilaporkan tidak terjejas dan bekalan air masih mencukupi untuk penggunaan domestik.
"Tidak ada aduan, semua ok. Setakat ini cukup untuk seluruh Langkawi walaupun empangan susut,” jelasnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28