[VIDEO] Pesara kerajaan tuai 2kg padi huma ditanam tepi rumah

Iklan

MARANG - Seorang pesara kerajaan kini mampu tersenyum selepas hasil pertama tanaman padi huma atau padi darat yang diusahakan di tepi rumahnya sejak hampir lima bulan lalu berjaya dituai pada Ramadan baru-baru ini.

Alias Salleh, 70, mula menanam dua varieti padi jenis tangkai langsat dan jarum galah di kawasan rumahnya di Kampung Tebakang, Bukit Payong di sini bermula 24 November tahun lalu.

Iklan
Iklan
Alias menunjukkan tanaman padi yang diusahakan di tepi rumahnya di Kampung Tebakang, Bukit Payong di Marang.

Bapa kepada empat anak itu berkata, dia memperoleh kira-kira dua kilogram (kg) hasil padi yang dituai pada 1 April lalu dan berhasrat untuk meluaskan lagi tanaman itu agar ia dapat menampung keperluan makanan seisi keluarga.

"Untuk permulaan ini saya tanam sebanyak 40 rumpun padi, namun hanya 35 rumpun berjaya dituai sebab lima rumpun lagi tak menjadi kerana diserang serangga perosak.

Iklan

"Hasil padi ini saya akan jadikan benih untuk tanam lebih banyak lagi sumber makanan itu untuk musim kedua yang dijangka dimulakan pada Mei depan," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Rabu.

Alias menunjukkan sebahagian daripada 35 rumpun padi yang ditanam di tepi rumahnya di Kampung Tebakang, Bukit Payong, Marang.

Menurut Alias, dia memberikan tumpuan penuh terhadap aktiviti tanaman padi dengan mempelajarinya melalui media sosial di samping turut mengusahakan pelbagai jenis tanaman kontan selepas bersara.

Iklan

Jelasnya, usaha itu dilakukan bagi mendapatkan bekalan beras organik dan pelbagai jenis sayuran yang bebas daripada baja sumber bahan kimia bagi menjaga kesihatan.

Alias menunjukkan hasil tanaman padi yang berjaya dituai pada 1 April lalu.

"Dulu-dulu masa kanak-kanak saya tinggal di persekitaran sawah padi, jadi ia membuatkan saya mengimbau kembali kenangan zaman dahulu.

"Jadi, saya ingin jadikan tanaman padi huma ini sebagai contoh kepada orang lain bahawa sumber makanan asas ini tidaklah begitu sukar untuk ditanam dan hanya memerlukan penjagaan.

"Padi huma yang saya tanam di tepi rumah ini tahan lasak, tidak kira musim tengkujuh atau musim panas ia masih dapat mengeluarkan hasil yang memuaskan," katanya yang mempelajari kaedah tanaman padi melalui media sosial.

Di samping menanam sendiri padi huma, Alias turut menyertai 24 ahli Koperasi Kariah Masjid Tebakang (KOMIT) yang turut mengusahakan tanaman padi yang sama.

Kata Alias, mereka yang mempunyai kawasan tanah yang sesuai boleh mengusahakan tanaman padi bagi mengatasi masalah bekalan beras yang semakin meruncing sejak akhir-akhir ini.

"Tanaman padi ini nak kata susah dan rumit sangat penjagaannya itu tidak juga sebab padi bukit ini tahan lasak. Saya rasa mereka yang ada masa dan tanah boleh usahakan tanaman ini

Hasil padi yang dituai akan dijadikan sebagai benih untuk ditanam di kawasan yang lebih luas di sekitar rumah Alias.

"Saya sendiri pun tak pernah belajar secara formal untuk tanam padi ini, hanya ikut kaedah tanaman melalui YouTube dan Facebook sebab saya usahakan secara kecil-kecilan sahaja," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!