KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur pada jam 6.22 petang Rabu.
Berita duka itu dikongsikan menerusi aplikasi WhatsApp sebelum disahkan oleh kakitangan anaknya, Datuk Arthur Joseph Kurup.
"Betul (meninggal dunia). Untuk urusan selanjutnya akan kami maklum kemudian," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Mendiang yang berusia 80 tahun sebelum ini merupakan Presiden PBRS sejak penubuhan pada tahun 1994 namun telah melepaskan jawatan itu kepada anaknya, Arthur pada tahun lalu.
Ahli politik veteran itu mula berkecimpung dalam bidang politik pada 1985 dengan menyertai Parti Bersatu Sabah (PBS) dan pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sook atas tiket PBS pada 1985-1999 dan 2004, selain sebagai Ahli Parlimen Pensiangan pada 2003.
Antara jawatan penting yang pernah disandang di peringkat negeri termasuk Timbalan Ketua Menteri Sabah, Menteri Pembangunan Sumber dan Usahawan, Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat serta Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Sementara itu di peringkat pusat, jawatan terakhirnya ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan dan Integrasi Nasional) antara 2013 hingga 2018.
Beliau tidak mempertahankan kerusi Parlimen Pensiangan pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 dan memberi laluan kepada Arthur yang kini sebagai Ahli Parlimen Pensiangan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!