Piala Asia B-23: Langkah kiri Malaysia di Qatar

Iklan
Najmudin (kiri) cuba melepasi kawalan pemain Uzbekistan dalam aksi Kumpulan D Piala Asia B-23 di Doha pada Rabu. Foto FB FAM

IMPIAN skuad bawah 23 tahun (B-23) negara untuk meraih sekurang-kurang satu mata tidak kesampaian setelah tewas 0-2 kepada Uzbekistan dalam saingan Kumpulan D Piala Asia B-23 di Qatar sebentar tadi.

Dalam aksi di Stadium Antarabangsa Khalifa, Doha tersebut, Uzbekistan menepati status sebagai juara Piala Asia B-23 2018 apabila membuka tirai jaringan menerusi Jasurbek Jaloliddnov pada minit ke-11 perlawanan.

Iklan
Iklan

Gol diperoleh menerusi sepakan penalti selepas pemain muda negara, Syahir Bashah menjatuhkan Ruslanbek Jiyanov dalam kotak penalti.

Jaloliddnov berjaya memperdaya penjaga gol skuad Harimau Muda, Azim Al Amin menerusi sepakan mudah di sebelah kanan gawang negara.

Iklan

Malaysia sebelum itu berpeluang berada di depan, namun sepakan lencong Luqman Hakim dari luar kotak penalti gagal menemui sasaran.

Memasuki babak kedua Juan Torres Garrido memasukkan Muhammad Khalil dan Najmudin Akmal bagi menggantikan Syahir serta Aliff Izwan.

Iklan

Pertukaran itu hampir membuahkan hasil, namun percubaan Najmudin gagal memecah kebuntuan jaringan.

Bagi merancakkan lagi gerakan Malaysia membuat satu lagi pertukaran apabila memasukkan Haqimi Azim dan Daryl Sham bagi menggantikan Luqman serta kapten, Mukhairi Ajmal.

Kemasukan Daryl membawa impak positif buat skuad negara apabila percubaannya menemui gawang, namun ditangkap kemas penjaga gol Uzbekistan, Abduvokhid Nematov

Ketika Malaysia rancak menyerang, Uzbekistan menggandakan jaringan menerusi Ulugbek Khoshimov pada minit ke-83 dan keputusan itu kekal hingga wisel penamat.

Selepas ini skuad muda negara akan membuat perhitungan dengan Vietnam pada Sabtu dan aksi terakhir kumpulan akan berdepan Kuwait tiga hari kemudian.

Tiga pasukan terbaik di Piala Asia B-23 akan mara secara automatik ke Sukan Olimpik 2024 sementara pasukan keempat akan mengharungi 'play-off' menentang wakil Afrika, Guinea.

Sebagai rekod, pencapaian terbaik skuad Harimau Muda pada kempen Piala Asia B-23 adalah mara ke suku akhir edisi 2018 sebelum tewas 1-2 kepada Korea Selatan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28