MIKEL Arteta mengakui Arsenal membayar harga yang mahal susulan satu kesilapan besar dilakukan pasukan ketika tewas 0-1 kepada Bayern Munich sekali gus tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara.
Tandukan Joshua Kimmich pada separuh masa kedua menghukum Arsenal dan menamatkan harapan mereka untuk mara ke separuh akhir buat kali pertama sejak 2009.
The Gunners tewas dengan agregat 2-3 pada suku akhir selepas seri 2-2 pada aksi pertama utara London minggu lepas.
Ia adalah pengalaman yang menyakitkan untuk Arteta yang meratapi kesilapan pertahanan pada perlawanan kedua itu.
"Kami cuba menentang pasukan yang mempunyai banyak pengalaman. Jurang adalah sangat kecil.
"Ada beberapa ketika kami beraksi baik tetapi kami memberikan mereka dua gol (pada perlawanan pertama). Itu adalah kelebihan besar untuk diberikan kepada mereka.
"Hari ini anda dapat melihat jurang kesilapan adalah sifar. Kami melakukan kesilapan dalam kotak penalti dan melepaskan satu gol.
"Kemudian ia sukar. Kami mencuba pelbagai cara tetapi ia sukar," katanya.
Bagaimanapun, pengendali kelahiran Sepanyol itu menegaskan pemainnya berhak mendapat kredit untuk aksi mereka sepanjang Liga Juara-Juara kali ini.
"Ini adalah waktu untuk sentiasa berada di samping pemain, untuk memberi mereka sokongan. Mereka telah membawa pasukan sejauh ini.
"Kelab ini tidak beraksi dalam Liga Juara-Juara selama tujuh tahun. Anda mahu bermain pada tahun pertama dan berada di separuh akhir atau final.
"Kami semua sangat menginginkannya tetapi anda boleh lihat dengan banyak kelab lain yang kadang-kadang mengambil masa enam atau tujuh tahun untuk sampai ke peringkat itu," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!