KUALA LUMPUR - Seorang wanita tampil dengan kelainan dan tampak elegan apabila memakai pakaian berwarna merah sewaktu berniaga di sebuah gerai dekat sini.
Bukan itu sahaja, topi bulat dihiasi bunga-bungaan tidak lekang dari menghiasi kepalanya. Gerai wanita itu yang dikenali sebagai Red Fedora Cafe mudah kelihatan dari jauh di Little India, Brickfields kerana pelapik meja dialas dengan kain berwarna merah dan selain menggunakan payung berwarna sama.
Menerusi perkongsian di laman TikTok, D Manimagalai yang menjual kuih tradisional masyarakat India iaitu pelbagai variasi pani puri di juga tidak lokek dengan senyuman manis melayan para pelanggannya.
Rakaman video mengenai wanita itu kemudiannya meraih pelbagai komen dan sokongan daripada warga net pelbagai bangsa yang rata-rata kagum dengan pendekatannya.
Malah ada yang menggelarkan Manimagalai dengan panggilan ‘Akka Merah’.
Ketika dihubungi, Manimagalai, 54, berkata, dia meletakkan pelakon Tamil, MG Ramachandran sebagai idola.
"Perjalanan hidup dia agak berliku sama seperti saya dan sentiasa bersikap positif yang akhirnya MG Ramachandran dilantik sebagai Ketua Menteri Tamil Nadu selama tiga penggal,” katanya.
Ujar ibu kepada empat orang anak itu, dia mahu menjalani kehidupan yang tenang di samping membahagiakan orang sekeliling.
Ditanya mengenai warna merah yang sentiasa menjadi pilihannya, anak kelahiran Pulau Mutiara ini menjelaskan dia sangat meminati warna tersebut selain kuning.
"Idola saya suka warna merah hitam, tapi saya sangat berminat dengan warna merah dan kuning,” katanya yang mempunyai pengalaman perniagaan dalam bidang masakan dan kek selama 20 tahun.
Pilihan pani puri yang dijual adalah yogurt, krim keju, coklat dan original dijual pada harga RM10 bermula jam 7 petang hingga 11 malam setiap hari.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!