Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, K Pathmanathan berkata, pada Selasa lalu, paras Sungai Muda di muka sauk Lahar Tiang PBAPP di Seberang Perai turun kepada 1.72 meter (m) iaitu di bawah paras selamat 2m.
Menurutnya, Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) mengumumkan Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) dan Pejabat Lembangan Sungai Muda (PLSM) telah meningkatkan jumlah air yang dlepaskan dari Empangan Beris ke Sungai Muda, daripada 864 juta liter air mentah sehari JLH kepada 1,296 JLH.
"Pada Rabu, paras air Sungai Muda turun kepada 1.61m di Lahar Tiang. PBAPP terus mengabstrak air mentah yang mencukupi daripada sungai tanpa menggunakan EMD.
"Bagaimanapun, PBAPP juga berjaya menjalankan percubaan pelepasan dari EMD sebagai persediaan untuk senario 'kes yang lebih teruk'," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurut beliau, EMD berfungsi sebagai sumber sokongan cuaca kering yang boleh digunakan jika PBAPP tidak dapat mengabstrak air yang mencukupi dari Sungai Muda.
"Pada masa ini, PBAPP mengabstrak kira-kira 1,200 JLH dari Sungai Muda untuk pengeluaran optimum air terawat di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua. LRA ini menghasilkan kira-kira 85 peratus daripada air terawat yang diagihkan di Pulau Pinang setiap hari.
"Kapasiti pelepasan maksimum daripada EMD ialah 600 JLH, atau kira-kira 50 peratus daripada air mentah yang diperlukan oleh LRA Sungai Dua untuk beroperasi secara optimum.
"Oleh itu, selagi PBAPP dapat mengabstrak 600 JLH air mentah dari Sungai Muda dan melepaskan 600 JLH daripada EMD, sepatutnya tiada gangguan bekalan air tidak berjadual di Pulau Pinang," katanya.
Pathmanathan berkata, tiada ancaman segera namun PBAPP beroperasi pada status siap siaga yang tinggi.
"Sehingga hari ini, tiada ancaman segera terhadap bekalan air di Pulau Pinang yang berkaitan paras air Sungai Muda, berikutan enam pertimbangan utama iaitu PBAPP berjaya mengabstrak kira-kira 1,200 JLH dari Sungai Muda untuk menyokong pengeluaran air terawat yang optimum di LRA Sungai Dua apabila paras air pada 1.61m.
"Selain itu, SADA telah mengumumkan lebih banyak air dilepaskan dari Empangan Beris untuk mempertahankan paras air Sungai Muda. Kita juga mengambil kira kapasiti efektif Empangan Beris iaitu 80.19 peratus pada 16 April.
"Pertimbangan seterusnya adalah terhadap kapasiti efektif Empangan Muda, yang mungkin juga melepaskan air ke Sungai Muda ialah 35.69 peratus," jelasnya.
Ujar Pathmanathan, PBAPP boleh melepaskan maksimum 600 JLH dari EMD jika ia tidak dapat mengabstrak air mentah yang mencukupi dari Sungai Muda.
"Kita juga mengambil kira kapasiti efektif EMD adalah 89.7 peratus. Bagaimanapun, PBAPP kini beroperasi pada status siap siaga yang tinggi kerana Sungai Muda adalah sumber air mentah utama Pulau Pinang.
"PBAPP akan memantau paras sungai dengan teliti. PBAPP akan memberikan kemas kini awam apabila senario Sungai Muda semakin baik atau semakin merosot," katanya.
Sebelum ini, SADA memaklumkan paras air Sungai Muda, yang melibatkan operasi LRA Sungai Petani dan Pinang Tunggal menunjukkan trend menurun dan pengguna air di daerah Kuala Muda berisiko mengalami gangguan bekalan air.
Bagaimanapun, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pengguna air di Pulau Pinang setakat ini tidak mengalami sebarang isu berkaitan bekalan air susulan paras air Sungai Muda menurun.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28