KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Hukuman penjara enam bulan dan denda RM12,000 terhadap seorang juruteknik aplikasi sosial berhubung komen jelik isu stoking dengan kalimah ALLAH, dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis.
Ia selepas Hakim, Datuk Ahmad Bache membenarkan semakan difailkan tertuduh, Chiok Wai Loong, 35, supaya pengakuan bersalah dibuatnya atas pertuduhan berkenaan, bukan akuan jelas dan tanpa bersyarat.Menurutnya, selepas mendengar hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan tertuduh, mahkamah membatalkan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen terhadap sabitan dan hukuman itu.
"Pertuduhan terhadapnya begitu panjang, bagaimana anda (pendakwaan dan mahkamah) mengharapkan orang awam seperti dia untuk memahami, selain dia juga tidak diwakili peguam pada hari itu.
"Susulan itu, tertuduh perlu dipertuduhkan semula di Mahkamah Sesyen di hadapan hakim berlainan segera mungkin," kata hakim itu.
Dilaporkan, lelaki itu akan dituduh semula pada jam 2.30 petang, Khamis.
Dalam prosiding ini, Wai Loong diwakili peguam, N Surendren sementara pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datin Kalmizah Salleh.
Sebelum ini, media melaporkan tertuduh tampil memohon maaf secara terbuka selepas didakwa menambahkan ketegangan dalam isu penjualan stoking bertulis kalimah ALLAH di sebuah kedai serbaneka.
Pada 22 Mac lalu, Hakim, Suzana Hussin menjatuhi Wai Loong hukuman itu, selepas tertuduh mengaku bersalah atas tuduhan berkenaan.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik, melalui perkhidmatan aplikasi Facebook, menggunakan nama profil ‘Chiok Wai Loong’ pada 18 Mac.
Ia dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain yang telah dilihat pada jam 3 pagi, hari sama di Brickfields dekat sini.
Pertuduhan dibuat mengikut Perenggan 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum bawah subseksyen 233(3) akta sama, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM 50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan, jika sabit kesalahan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!