SEPANG - Penyanyi Mohd Ali Ismail, 56, atau lebih dikenali dengan nama Ali XPDC dikejarkan ke Hospital Serdang selepas mengalami sesak nafas di kediamannya di Salak Tinggi di sini.
Perkara itu dimaklumkan pentadbir laman Facebook Exco Perumahan dan Pembangunan Bandar Lestari, Kebudayaan, Adat Istiadat Melayu dan Warisan Negeri Selangor, Borhan Aman Shah pada Khamis.
"Pada jam 11 pagi tadi, YB Borhan Aman Shah menyantuni saudara Ali XPDC (Mohd Ali Ismail) dan menyerahkan sumbangan kerusi roda.
"Kebetulan semasa YB menziarahi saudara Ali di kediamannya, beliau menghadapi sedikit kesukaran kesihatan dan YB membantu menghantar beliau ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut," kata pentadbir laman sosial itu.
Terdahulu, media melaporkan isteri vokalis popular itu, Sharifah Azuwanna Syed Joned memaklumkan, kesihatan suaminya semakin merosot sejak awal tahun lalu dan semakin serius sejak Ramadan.
"Bila malam abang memang tak dapat tidur dan hanya tidur dalam keadaan duduk. Saya ada merayu memintanya ke hospital namun abang kata tunggu dulu.
"Meskipun sakit, abang tetap berpuasa penuh serta berulang alik menunaikan solat fardu di masjid dengan dihantar anak kami,” katanya.
Pada 2021l, Ali pernah berdepan ujian getir selepas diserang angin ahmar yang turut mengakibatkan jantungnya membengkak.
Sejak itu kesihatan beliau turun naik sehingga mengganggu kerjaya sebagai anak seni.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!