Ribuan penumpang ke Sabah, Sarawak terkandas di lapangan terbang

Iklan
Penumpang pesawat Air Asia beratur di kaunter bagi mendapatkan info terkini dan menjadualkan semula penerbangan berikutan kesemua penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 ke Tawau Sabah dibatalkan berikutan letusan gunung berapi di Gunung Ruang, Indonesia. Foto Bernama

SEPANG - Ribuan penumpang beberapa syarikat penerbangan antaranya Malaysia Airlines, AirAsia dan Batik Air untuk perjalanan ke Sabah dan Sarawak terkandas pada Khamis susulan letusan gunung berapi di Gunung Ruang, Indonesia.

Tinjauan Bernama seawal jam 11 pagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 mendapati rata-rata penumpang yang sepatutnya berlepas ke Tawau pada jam 8.20 pagi telah diberikan tiket penjadualan semula ke Sandakan pada jam 1.30 tengah hari ini.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan terbaharu AirAsia pada jam 12 tengah hari Khamis, kesemua penerbangan ke Sabah, Sarawak dan Brunei dibatalkan bermula 10 pagi hari ini sehingga jam 8 pagi esok.

Antara penerbangan AirAsia yang terjejas ialah ke Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Bintulu, Kuching dan ke Brunei.

Iklan

Pembantu tadbir yang bertugas di Kelantan, Hazwan Mohd Hanafi, 35, ketika ditemui berkata, beliau dan 20 ahli keluarganya dijadual berlepas ke Tawau pada jam 8.20 pagi tadi namun mereka telah diberikan tiket baharu ke Sandakan.

"Kami sepatutnya menghadiri majlis perkahwinan di Tawau esok dan sebab dapat penerbangan ke Sandakan. Jadi kami rancang untuk ke Tawau melalui jalan darat nanti.

Iklan

"Tapi sekarang semua penerbangan batal pula. Belum ada apa-apa perancangan lagi, mungkin kami akan tunggu di sini (lapangan terbang) sahaja untuk penjadualan semula penerbangan,” katanya.

Penumpang pesawat Air Asia merakamkan jadual penerbangan ekoran kesemua penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 menuju ke Sabah, Sarawak dan Brunei telah dibatalkan sehingga lapan pagi esok. Foto Bernama

Seorang lagi penumpang ke Tawau Norfatihah Aluddin, 15, berkata, beliau dan tiga ahli keluarganya masih menunggu perkembangan terkini daripada AirAsia susulan pembatalan kesemua penerbangan itu.

"Kami ada majlis di Tawau Sabtu ini, tadi dah dapat penerbangan ke Sandakan dan keluarga rancang untuk naik bas ke Tawau dari Sandakan, tapi batal pula. Kalau boleh bagus jika dapat penerbangan esok pagi,” katanya.

Penumpang ke Kuching yang hanya mahu dikenali sebagai Annie berkata, penerbangannya pada jam 11.35 pagi turut dibatalkan.

"Buat masa ini mereka (AirAsia) minta kami menunggu perkembangan terkini dari semasa ke semasa, jadi kami kena bersabar,” katanya yang berasal dari Kuching.

Sementara itu, penumpang Malaysia Airlines dari KLIA Terminal 1 Mohd Firdaus Mohd Shaari ketika dihubungi berkata, beliau telah dimaklumkan penerbangan MH2710 dari Kuala Lumpur ke Sandakan dibatalkan dan sedang menunggu mendapatkan info lanjut mengenai jadual penerbangan semula.

"Sekarang saya tengah berbaris di kaunter untuk mendapatkan semula bagasi yang telah kami daftar masuk pagi tadi dan bertanyakan apa pelan kontingensi bagi penumpang terjejas,” katanya yang bertugas sebagai penolong pegawai perubatan di sebuah hospital di Sandakan.

Difahamkan,beliau bersama isteri yang juga seorang doktor di hospital sama balik beraya di Semenanjung pada 6 April lepas dan dijadual kembali bertugas pada 22 April depan.

Selain AirAsia, Malaysia Airlines dan Batik Air juga telah membatalkan penerbangan mereka kerana letusan Gunung Ruang.

Malaysia Airlines membatalkan 19 penerbangan antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan destinasi di Sabah dan Sarawak hari ini, 11 penerbangan melibatkan Sabah dan lapan lagi membabitkan Sarawak.

Batik Air pula telah mengumumkan pembatalan penerbangan untuk laluan Malaysia Timur hari ini yang membabitkan Kota Kinabalu, Kuching, Tawau dan Sibu.

Menurut Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), letusan gunung berapi di Gunung Ruang di Indonesia telah mengakibatkan pembentukan awan debu bergerak ke arah Wilayah Maklumat Penerbangan (FIR) Kota Kinabalu yang menimbulkan risiko kepada keselamatan pesawat di ruang udara itu. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!