Penumpang terkandas kecewa, tunggu penerbangan dijadualkan semula

Iklan
Syarikat penerbangan Malaysia Airlines, AirAsia dan Batik Air membatalkan semua penerbangan di antara Kuala Lumpur, Sabah dan Sarawak susulan letusan Gunung Ruang di Indonesia wilayah Sulawesi Utara. Foto Bernama

KUCHING - Pengusaha bengkel, Wan Azizul Wan Zainal Abidin, 40, berharap hasratnya untuk menunaikan umrah akan terlaksana meskipun kecewa penerbangan asalnya ke Jeddah dibatalkan susulan letusan Gunung Ruang pada Khamis.

Bercakap kepada Bernama, beliau yang diiringi isterinya Nurul Hidayah Abdullah, 39, untuk pertama kali mengerjakan umrah, sama sekali tidak menduga akan diuji sedemikian sebelum dapat menjejakkan kaki di tanah suci.

Iklan
Iklan

"Jadual asalnya penerbangan akan berangkat jam 1.30 tengah hari tapi pada kira-kira jam 8 pagi tadi saya menerima SMS (mesej pesanan ringkas) mengatakan penerbangan itu dibatalkan dan kami dipindahkan untuk berangkat jam 3.15 petang.

"Dalam tengah hari tadi saya menerima satu lagi SMS mengatakan penerbangan jam 3.15 petang itu juga dibatalkan dan kini saya berharap penerbangan seterusnya jam 8.45 malam akan dapat berangkat,” katanya yang telah menunggu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) sejak jam 9.30 pagi Khamis.

Iklan

Menurutnya, penerbangan terus yang sepatutnya dinaiki mereka dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Jeddah esok dibatalkan dan setakat ini, mereka dijadualkan semula untuk menggunakan satu lagi penerbangan dari KLIA yang singgah di Jakarta terlebih dahulu sebelum meneruskan perjalanan ke Jeddah.

Pasangan itu antara ribuan penumpang yang terkandas di KIA susulan keputusan syarikat penerbangan Malaysia Airlines, AirAsia dan Batik Air membatalkan semua penerbangan di antara Kuala Lumpur, Sabah dan Sarawak susulan letusan Gunung Ruang di Indonesia wilayah Sulawesi Utara.

Iklan

Seorang lagi penumpang, Juliana Jering, 48, yang telah berada di bandar raya ini sejak beberapa hari lepas bagi menemani suaminya menjalani rawatan di Hospital Umum Sarawak berkata, beliau berasa terkilan dengan keputusan berkenaan memandangkan ketika itu mereka hanya menunggu untuk berlepas ke Bintulu di utara negeri ini.

"Sudahlah suami saya baru sahaja keluar dari hospital umum pagi tadi dan perlu mengikuti rawatan susulan di Hospital Bintulu. Sekarang kami terpaksa merujuk semula kepada pihak hospital untuk langkah seterusnya," katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu penumpang, Muhammad Iqbal Zolkipli, 39, mendakwa tidak mendapat sebarang e-mel atau notifikasi daripada pihak penerbangan mengenai pembatalan tersebut dan hanya mengetahui tentang perkara itu setelah tiba di lapangan terbang tengah hari tadi.

Beliau berkata, penumpang yang terjejas perlu ke kaunter tiket untuk mengemas kini butiran dan perlu membuat perubahan kepada mana-mana tarikh perjalanan baharu dalam tempoh 30 hari dari tarikh berlepas.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, syarikat penerbangan bertanggungjawab membantu penumpang terkandas berikutan pembatalan penerbangan mereka.

"Semua yang terkandas pastinya akan ada penerbangan lain untuk mereka, sebaik sahaja dibenarkan. Pada masa ini, faktor keselamatan perlu diutamakan...supaya tidak berlaku musibah yang lain, oleh itu penerbangan ditunda dulu,” katanya kepada pemberita di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran pihaknya di sini pada Khamis. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!