Pembatalan penerbangan: AirAsia sediakan pilihan kepada penumpang

Iklan
Penumpang pesawat Air Asia beratur di kaunter bagi mendapatkan info terkini dan menjadualkan semula penerbangan berikutan kesemua penerbangan dari KLIA Terminal 2 ke Tawau Sabah dibatalkan berikutan letusan gunung berapi di Gunung Ruang, Indonesia, ketika tinjauan pada Khamis. Foto Bernama

PUTRAJAYA - AirAsia akan menyediakan pilihan kepada penumpang yang penerbangannya dibatalkan akibat letusan Gunung Ruang di Kepulauan Sulawesi Indonesia, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Bo Lingam.

Beliau berkata, penumpang boleh meminda penerbangan mereka, dengan membuat perubahan sekali sahaja kepada mana-mana tarikh perjalanan baharu untuk laluan yang sama, dalam tempoh 30 hari dari tarikh berlepas asal tanpa kos tambahan dan tertakluk kepada ketersediaan tempat duduk.

Iklan
Iklan

"Mereka juga boleh mengekalkan nilai tempahan penerbangan dalam akaun ahli AirAsia Rewards untuk perjalanan akan datang dengan AirAsia, yang perlu ditebus dalam tempoh 2 tahun dari tarikh pengeluarannya.

"Penumpang boleh memilih tarikh baharu perjalanan pada mana-mana tarikh dalam jadual penerbangan yang ada di airasia.com,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iklan

Penerbangan pergi balik sembilan lapangan terbang termasuk Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Labuan, Miri, Sibu, Bintulu, Kuching dan Brunei, akan terjejas oleh pembatalan yang bermula jam 10 pagi hari ini hingga 8 pagi 19 April.

Penumpang AirAsia yang melakukan perjalanan kepada dan dari destinasi yang terjejas, boleh menyemak status penerbangan terkini mereka di airasia.com/flightstatus.

Iklan

Selain itu, Bo Lingam berkata, penumpang yang ingin melakukan perubahan tempahan secara dalam talian boleh berbuat demikian di airasia.com atau AirAsia MOVE.

"Daripada kategori yang tersedia, penumpang boleh klik pada ‘Perubahan Tempahan’ kemudian ‘Perubahan Penerbangan’ dan akhir sekali ‘Penerbangan saya telah ditukar oleh AirAsia’. Dari situ, cuma ikut arahan untuk membuat perubahan pada tempahan anda,” katanya.

"Kami faham bahawa ini mungkin menyusahkan penumpang dan kami memohon maaf atas gangguan terhadap rancangan perjalanan mereka. Bagaimanapun, keselamatan penumpang dan krew kami menjadi suatu keutamaan dan kami menghargai pemahaman dan kerjasama penumpang pada ketika ini,” katanya.

Syarikat penerbangan itu, menurut Bo Lingam, akan terus memantau keadaan dengan teliti dan bekerjasama dengan pihak berkuasa yang berkaitan, termasuk pihak berkuasa Penerbangan Awam Malaysia untuk menilai keadaan sebelum menyambung semula operasi ke destinasi yang terjejas. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!