KUANTAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang merekodkan 20 kes sepanjang Ops Pantau 2024, dengan nilai kompaun berjumlah RM7,000.
Pengarah KPDN negeri, Jezlily Jamaluddin berkata, kompaun itu dikeluarkan ke atas peniaga atas pelbagai kesalahan.
"Sebanyak tujuh kes dibawah kesalahan Akta Kawalan Harga dan Anti pencatutan 2011, 12 kes di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 dan satu kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
"Selain itu, sebanyak 23 aduan diterima dan disiasat oleh KPDN Pahang berkaitan isu harga, keberadaan bekalan barangan keperluan pengguna, jualan murah, perihal halal dan barang tiruan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, pemeriksaan membabitkan 5,260 premis di seluruh negeri yang berkuatkuasa pada 12 Mac dan berakhir pada 9 April lalu.
Jelasnya, operasi tersebut bagi memberikan fokus terhadap beberapa perkara antaranya berkaitan bekalan barangan, harga barangan, jualan murah, penggunakan alat timbang,penjualan barang tiruan dan kepatuhan halal.
"Pemeriksaan dan pemantauan ini, untuk memastikan peniaga sentiasa mematuhi perundangan yang sedang berkuatkuasa terutama sepanjang Ramadan dan sambutan Aidilfitri," katanya.
Dalam masa yang sama, Jezlily memberitahu, pihaknya akan meningkatkan pemantauan sepanjang musim perayaan di bawah Skim Kawalan Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) yang telah bermula pada 5 April dan akan berakhir pada Jumaat.
"Sebanyak 354 pemeriksaan telah dijalankan di bawah SHMMP dan tujuh kes telah dikesan atas kesalahan gagal meletakkan tanda harga merah jambu bagi barang harga terkawal.
"Berdasarkan pemantauan yang berterusan ini, tiada isu atau aduan berkaitan dengan kekurangan atau terputus bekalan barangan keperluan pengguna, selain kenaikkan harga barangan sepanjang cuti perayaan Aidilfitri lalu," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28