Afidavit: Zahid laksana amanah UMNO teruskan pembelaan ke atas Najib

Iklan
Datuk Seri Mahdzir Khalid

ALOR SETAR - UMNO Kedah merakamkan penghargaan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana tampil memfailkan afidavit tambahan menyokong petisyen Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kewujudan Titah Adendum mengenai tahanan rumah bekas Perdana Menteri itu.

Pengerusinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, proses perundangan terbaharu diambil oleh Najib yang disokong oleh afidavit Ahmad Zahid diharap dapat berjalan sesuai dengan lunas-lunas perundangan negara.

Iklan
Iklan

Bagi UMNO Kedah, Ahmad Zahid membuat afidavit tambahan atas nama Timbalan Perdana Menteri telah membuktikan dua perkara penting.

"Pertama, ia menjadi manifestasi usaha pembelaan terhadap Datuk Seri Najib oleh Datuk Seri Zahid yang melaksanakan amanah parti UMNO yang mahukan usaha pembelaan diteruskan buat bekas presiden parti.

Iklan

"Keduanya, ia adalah pembuktian Timbalan Perdana Menteri sebenarnya memuliakan titah adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang menyebut mengenai 'tahanan rumah' kepada Datuk Seri Najib," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambah Mahdzir, UMNO Kedah menjunjung kasih atas Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong yang menurut afidavit tambahan itu sebagai Titah Prerogatif Diraja sama seperti titah utama dalam proses pengampunan yang dipohon oleh Najib.

Iklan

Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan Ahmad Zahid mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan Najib mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan titah adendum atau tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Titah Adendum itu supaya Najib dapat menghabiskan baki hukuman penjara dengan tahanan di rumah.

Ahmad Zahid menyokong dakwaan itu menerusi afidavit yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 April lalu setelah melihat dan membaca titah adendum itu dan jelas dengan isi kandungannya.

Beliau mendakwa telah dimaklumkan mengenai kewujudan titah itu oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, pada 30 Januari lalu.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28