ALOR SETAR - Sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini mengimbau nostalgia zaman kanak-kanak Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dengan pembinaan replika sebuah rumah kayu di pekarangan Seri Mentaloon.
Sanusi memaklumkan, pembinaan rumah kayu tersebut mempunyai kisah tersendiri yang terpahat dalam ingatannya sejak tahun 1978.
Beliau berkata, replika tersebut dibina sebagai kenangan yang dikaitkan dengan tajuk novel hasil karyanya, ‘Dinding sekeping adik seorang’.
"Istimewa sambutan Aidilfitri kali ini, dibina replika rumah papan (kayu) yang ada kaitan dengan novel saya. Jika dilihat pada bahagian belakang rumah itu ada dinding tercabut sekeping.
"Di situlah (dinding tercabut) abang saya serah adik saya ikut laluan papan itu, nak tarik masuk tetapi tak boleh sampai lenguh, lepaslah. Itu yang jadi dinding sekeping adik seorang.
"Saya masih ingat adik jatuh (dari ketinggian) 10 kaki (3.05 meter) lebih tetapi dia masih umur panjang sampai hari ini. Dibuatlah replika rumah itu sebagai kenang-kenangan untuk mengimbau nostalgia,” ujarnya.
Sanusi memaklumkan, replika yang dihasilkan tidak mengikut saiz sebenar kerana rumah asal keluarganya agak tinggi.
"Peristiwa tersebut berlaku dalam tahun 1978. Rumah saya ketika itu dindingnya tidaklah kemas seperti replika, dibuat untuk kenangan saja,” katanya.
Menurutnya, selain replika rumah kayu yang disediakan untuk menjadi lokasi merakamkan gambar tetamu, sambutan kali ni lebih istimewa dengan pelbagai juadah disediakan selain penampilan Datuk Jamal Abdillah.
"Nampak ramai hadir, cuma cuaca panas sikitlah. Maknanya orang suka mai (datang) Kedah, siapa kata orang tak suka Kedah?
"Terima kasih kepada semua pengunjung yang hadir ke rumah terbuka saya, persiapan lebih sedikit berbanding tahun lepas, dengan adanya medan baharu yang boleh muatkan 1,200 orang pada satu-satu masa untuk keselesaan,” ujarnya.
Dianggarkan sekitar 100,000 hadir ke Rumah Terbuka Menteri Besar Kedah yang bermula pada jam 11 pagi hingga 4 petang.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!