FAM lancar Akademi Pengadil Profesional

Iklan
Sivadundaram bersama Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan beramah mesra bersama para pengadil FIFA 2023 pada Majlis Makan Malam Pengadil di sebuah hotel pada Khamis. Foto Bernama

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) telah melancarkan Akademi Pengadil Profesional dalam usaha melahirkan pengadil berprestasi tinggi bagi mengadili kancah liga tempatan seterusnya ke peringkat antarabangsa.

Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram berkata, seramai 30 pengadil termasuk tiga pengadil wanita dipanggil untuk menyertai akademi berkenaan bagi fasa pertama bermula tahun 2023-2025.

Iklan
Iklan

"Bagi kumpulan pertama ini, FAM telah memilih barisan pengadil muda dan berpotensi berusia antara 20 hingga 32 tanun.

"Pengadil ini akan diuji dari segi aspek kecergasan, kesihatan, undang-undang permainan serta literasi (kebolehan menulis dan membaca) dalam bahasa Inggeris. Sebanyak sembilan modul perlu dikuti oleh mereka," katanya dalam ucapan sebelum melancarkan akademi itu di Hotel Armada di sini malam Khamis.

Iklan

Dalam pada itu, katanya, seramai lima pengadil daripada kumpulan ini juga telah dipilih untuk dilatih sebagai Video Bantuan Pengadil (VAR).

Tambah beliau, akademi ini merupakan projek jangka masa panjang yang akan diteruskan untuk fasa-fasa seterusnya pada 2025 hingga 2027 dan 2027- 2029.

Iklan

Sementara itu, mengulas mengenai penggunaan VAR dalam saingan Liga Super musim 2024/2025, Sivasundaram berkata, FAM dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) kini dalam fasa akhir persiapan untuk perlaksanaan teknologi liga yang akan bermula 10 Mei ini.

"Atas inisiatif Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, sejarah bakal tercipta apabila FAM dan MFL mengorak langkah memperkenalkan VAR dalam saingan Liga Malaysia bermula musim 2024/2025 ini.

"Pelbagai fasa latihan VAR telah dibuat untuk membiasakan pengadil dengan kemahiran VAR. Objektif utama VAR adalah untuk meminimumkan kesilapan pengadil dan seterusnya memajukan standard bola sepak negara," katanya.

Beliau berkata, seramai 22 pengadil telah ditauliahkan sebagai pengadil VAR, 20 Penolong Pengadil ditauliah sebagai Pembantu Pengadil Video Bantuan (AVAR), sembilan pengadil sebagai Replay Operator (RO) dan lima individu dari Astro ditauliah sebagai RO.

"Tambahan seramai 17 penolong pengadil dipanggil untuk menyertai Seminar VAR 2024 yang mana ia membolehkan mereka dilantik sebagai penolong pengadil 1 & 2 bagi perlawanan yang menggunakan VAR,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!