KOTA KINABALU - Jasad mendiang Tan Sri Joseph Kurup tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu di sini pada jam 11.20 malam ini dengan pesawat komersial.
Penerbangan membawa mendiang pada asalnya dijadualkan pada jam 9.15 pagi tadi, bagaimanapun ditunda berikutan letusan Gunung Ruang di Sulawesi Utara, Indonesia.
Anak mendiang iaitu Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup turut mengiringi jasad bapanya itu.
Jasad mendiang akan dibawa ke Fook Lu Siew Coffin Supplies Sdn Bhd, Jalan Tuaran di sini bagi urusan penghormatan terakhir bagi tetamu kenamaan dan orang ramai yang dijadual diadakan bermula jam 2 petang hingga 8 malam esok.
Semalam, Pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah itu meninggal dunia di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur pada usia 79 tahun.
Mendiang ialah bekas Ahli Parlimen Pensiangan pernah memegang beberapa jawatan penting antaranya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan dan Integrasi Nasional).
Joseph bersara daripada politik tahun lepas selepas memegang jawatan Presiden PBRS sejak penubuhan parti itu pada 1994 dan anaknya Arthur yang juga Timbalan Presiden menggantikan ayahnya sebagai Presiden pada Januari tahun lepas. - Bernama