MENTERI Besar Kedah tiba-tiba suruh orang ramai tanam padi huma berbanding ubi kayu kalau nak tambah bekalan makanan utama negara.
Katanya, padi huma lebih baik kerana lebih sedap, ubi kayu pula boleh buat perut kembung sebab angin. Makan nasi padi huma juga lebih kenyang.
Selain lirik lagu popular Hati Kama nyanyian Siti Nurhaliza yang ada menyebut ‘padi huma’, setahu Merak Jalanan ia tidaklah sepopular beras basmati nasi beriani.
Cuma ikut kata MB Kedah, permintaan padi huma sekarang luar biasa.
Harganya boleh cecah antara RM40 dan RM45 sekilogram, ataupun RM450 bagi 10kg, lebih mahal daripada beras sushi Jepun.
Ada juga orang bertanya untuk siapa padi huma ini. Beras import RM4 sekilogram pun sudah jadi isu, ini pula harga beratus ringgit.
Kalau di tempat Merak Jalanan, RM10 sudah boleh dapat 2kg ubi kayu.
Namun menurut Guinness World Record, beras paling mahal di dunia bukan padi huma tetapi beras Jepun jenis Kinmemai Premium berharga AS$109 (RM520) sekilogram.
MB Kedah bandingkan padi huma dengan ubi kayu itu mungkin untuk menyindir Tan Sri Johari Abdul.
Speaker Dewan Rakyat dari Kedah itu sebelum ini cadangkan rakyat makan ubi kayu sebagai ganti nasi kerana stok beras tempatan susah nak dapat sekarang.
Ubi kayu juga tinggi karbohidrat macam nasi.
MB dan Johari dua-dua dari Kedah.
Sejak dulu lagi banyak idea pemimpin-pemimpin dari Kedah untuk bantu tingkatkan pendapatan petani.
Pada 1990-an dulu, mantan Menteri Pertanian dari Kedah, Tan Sri Sanusi Junid terkenal dengan kempen minum air kelapa mudanya.
Sekarang, kelapa muda banyak dijual di restoran-restoran besar dan harganya pun mahal.
Tidak kira apa dan idea siapa, kita perlu tambah pengeluaran makanan negara.
Tak perlulah perlekeh idea orang walaupun nampak kelakar.
Makan dan tanamlah apa saja makanan alternatif, asalkan jangan sembang saja. Buatlah sampai berjaya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28