Harga jualan tembikai di ladang lebih RM1 sekilogram

Iklan
Roslan menunjukkan buah tembikai yang dihasilkan dari kebunnya.

KOTA BHARU - Petani yang mengusahakan tanaman tembikai di negeri ini mendedahkan harga ladang buah tersebut tidak pernah mencecah serendah RM1 untuk sekilogram.

Tinjauan Sinar Harian mendapati rata-rata harga buah tembikai di sini dijual bermula antara RM1.20 sekilogram dan ke atas.

Iklan
Iklan

Seorang petani dari Bunut Susu, Pasir Mas, Roslan Yusoff, 57, berkata, tahun lalu harga tembikai mencecah RM2 sekilogram.

"Tahun ini hanya sekitar RM1.20 sekilogram, hal ini kerana semua hasil yang diusahakan oleh petani di beberapa kawasan Kelantan dan Terengganu dituai serentak.

Iklan

"Jadi situasi itu menyebabkan kejatuhan harga berlaku walaupun pada bulan Ramadan tahun ini namun ia tidak menjejaskan pendapatan kami," katanya.

Menurutnya yang sudah 12 tahun mengusahakan tanaman tersebut, walaupun ada banyak lebihan tetapi permintaan tetap tinggi.

Iklan

Ujarnya, tembikai yang ditanam pada tanah seluas 1.2 hektar itu telah ditempah pemborong serta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Seorang peniaga runcit menunjukkan harga jualan buah tembikai terkini.

Sementara itu penanam tembikai di Cherang Ruku, Pasir Puteh, Zulkifli Ismail, 52, memberitahu, pada awal Ramadan berlaku sedikit penurunan harga iaitu sekitar RM1.60 sekilogram.

"Tembikai di sekitar kawasan Cherang Ruku, Tok Bali, Semerak dituai lebih awal disebabkan itu kami sempat merasa harga yang mahal, malah mencecah RM2 sekilogram pada harga ladang.

"Kebanyakan pemborong datang dari Johor, Kuala Lumpur. Kami di sini hanya tanam setahun sekali iaitu awal Januari kerana cuaca pada waktu itu sesuai untuk penanaman buah tembikai," katanya.

Menurutnya yang mengusahakan tembikai di tanah seluas 0.6 hektar untuk musim ini, semua 12 tan buah yang dihasilkan laris dijual.

Ujarnya, kebetulan musim tuaian ialah semasa Ramadan, jadi permintaan sangat tinggi.

Sementara itu, Pengarah FAMA Kelantan, Wan Faizatul Aniza Ismayatim berkata, setakat ini tiada lambakan tembikai berlaku sehingga petani terpaksa menjual pada harga RM1 sekilogram.

Wan Faizatul Aniza

Ujar beliau, setakat ini harga ladang yang dibeli oleh FAMA sekitar RM1.20 hingga RM1.30 sekilogram.

"Bagaimanapun, kejatuhan harga belian peringkat ladang sebanyak RM1 sekilogram berlaku untuk tempoh tiga hari menjelang hari raya.

"Harga itu kembali meningkat kepada RM1.20-RM1.30 sekilogram di peringkat ladang dan kekal sehingga kini. Situasi ini berlaku kerana pengeluaran tembikai secara serentak bukan sahaja di Kelantan malahan di Pahang dan Terengganu," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28