ISTANBUL - Delegasi Malaysia dijadual menghadiri latihan tanpa kekerasan (non violence training) pada Sabtu ini.
Turut bersama-sama Malaysia menyertai sesi latihan berkenaan ialah beberapa delegasi antarabangsa lain antaranya dari Kanada, Algeria, Belanda, Jerman, New Zealand dan Scotland.
Perkara itu dimaklumkan wakil dari Freedom Flotilla Coalition (FFC) sewaktu penyampaian taklimat kepada semua delegasi terlibat di sini, pada petang Khamis. Kesemua delegasi Malaysia tiba di sini sekitar pukul 2.47 petang Khamis (waktu tempatan) bagi menyertai misi Break the Siege of Gaza Freedom Flotilla.
Non violence training yang dianjurkan selama dua hari (Jumaat dan Sabtu) perlu disertai semua delegasi kerana ia merupakan syarat utama untuk menyertai Freedom Flotilla to Gaza untuk edisi ini.
Latihan berkenaan diberikan dengan tujuan mempersiapkan setiap peserta bagi mendepani sebarang kemungkinan sekiranya berlaku sebarang provokasi oleh pihak berkuasa Israel sepanjang misi berlangsung.
Seperti yang diumumkan sebelum ini, sebuah kapal kargo 5,000 tan dan dua buah kapal penumpang yang boleh memuatkan lebih 1,000 orang dijadual belayar pada 21 April ini (Ahad) sekiranya segala yang dirancang berjalan lancar.
Antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa yang terlibat dalam misi kali ini ialah Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Insani Yardim Vakfi (IHH), Ship to Gaza Norway, Rumbo A Gaza dan US Ship to Gaza.
Tidak ketinggalan Sweeden Ship to Gaza, Canadia Boat to Gaza, Freedom Flotilla Italia, Kia Ora to Gaza, Palestine Solidarity Alliance, Mavi Marmara Freedom and Solidarity Association, Miles of Smiles dan Free Gaza Australia.
Delegasi Malaysia yang menyertai misi Freedom Flotilla to Gaza termasuk Pengerusi Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Datuk Seri Ir Dr Kamal Nasharuddin Mustapha dan Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE, Kamarul Zaman Shaharul Anwar.
Tidak ketinggalan dua Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Dr Fauziah Mohd Hasan dan Norsham Abu Bakar.
Sementara dua wakil media Malaysia yang menyertai misi kali ini pula ialah dua petugas dari Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan dua wakil dari Astro Awani.
Bernama diwakili Muhammad Hafizuddin Mohd Yusof dan Mohammad Nulhakim Jailan manakala Astro Awani diwakili Syafik Shukri Abdul Jalil dan Ab Uzza Ab Latiff. - Awani
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28