NAIROBI - Ketua angkatan tentera Kenya, Jeneral Francis Omondi Ogolla dilaporkan terbunuh dalam nahas sebuah helikopter tentera terhempas di barat negara itu, pada Khamis.
Pemerintah tertinggi tentera Kenya itu berada di dalam pesawat berkenaan bersama-sama 11 pegawai tentera yang lain.
Sembilan mangsa lain juga maut, manakala dua orang lagi terselamat dalam tragedi itu. Dalam sidang akhbar, Presiden Kenya, William Ruto berkata, kejadian malang itu merupakan"kesedihan yang terbesar" bagi negara.
Sebelum memberikan kenyataan kepada media, Ruto terlebih dahulu menghadiri mesyuarat tergempar bersama Majlis Keselamatan Negara.
Menurut Ruto, nahas itu berlaku pada pukul 2.20 waktu tempatan.
Tentera Udara Kenya telah menghantar pasukan penyiasat udara untuk menentukan punca nahas, kata Presiden.
"Malangnya, pesawat itu terhempas sejurus selepas berlepas," kata Ruto.
Jeneral Ogolla dilantik oleh Ruto pada April tahun lalu.
Sebelum itu, beliau menjawat jawatan Komander Tentera Udara dan Timbalan Panglima Angkatan Tentera.
Ruto menyifatkan Jeneral Ogolla yang juga Ketua Penasihat Tentera Presiden sebagai seorang pegawai tentera yang berani dan gagah semasa menjalankan tugas.
"Negara kehilangan salah seorang jeneral yang paling berani dan pegawai yang gagah," kata Ruto dalam ucapannya kepada seluruh rakyat Kenya.
Sehubungan itu, Kenya akan berkabung selama tiga hari bermula hari ini (Jumaat) dan bendera akan dikibarkan separuh tiang.
Jeneral Ogolla menyertai Angkatan Pertahanan Kenya pada 24 April 1984.
Sepatutnya minggu depan, genap 40 tahun beliau berkhidmat dalam Angkatan tentera.
Sembilan lain terbunuh dalam nahas itu ialah pegawai-pegawai kanan tentera, sementara dua mangsa yang terselamat berada dalam keadaan kritikal dan sedang menjalani rawatan.
Kesemua mereka dalam misi untuk membuka semula beberapa sekolah yang ditutup berikutan serangan penyamun.
Ini merupakan kali kedua nahas helikopter berlaku dalam tempoh tiga tahun dan telah mengorbankan sekurang-kurangnya 10 pegawai tentera di Kenya.
Sekurang-kurangnya 10 askar terbunuh pada Jun 2021 apabila helikopter mereka terhempas ketika mendarat berhampiran ibu kota Nairobi. - Agensi/Awani
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28