JOHOR BAHRU – Seorang lelaki maut setelah motosikal ditunggangnya terbabas ketika mengelak sebuah kereta yang menukar haluan dalam kejadian di kilometer (km) 20.3 Lebuhraya Pasir Gudang, di sini pada Khamis.
Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Seri Alam, Deputi Superintenden Dr Mohd Roslan Mohd Tahir, kemalangan dipercayai berlaku sekitar jam 2.20 petang ketika penunggang motosikal jenis Yamaha 135LC berusia 56 tahun sedang dalam perjalanan menghala ke Perling.
"Kemalangan dipercayai berpunca apabila penunggang motosikal berkenaan cuba mengelak sebuah kereta dipandu seorang lelaki warga emas berusia 64 tahun yang menukar haluan dari lorong tengah ke lorong kiri jalan.
"Akibatnya, penunggang motosikal tersebut terbabas lalu merempuh tiang papan tanda yang berada di bahu kiri jalan.
"Mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Oragn ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut diharap dapat menghubungi talian 07-3864222 bagi membantu siasatan.
Polis turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi peraturan/undang-undang jalan raya dan kod lalu lintas terutamanya ketika waktu puncak ketika pergi dan pulang dari bekerja selain berhati-hati ketika memandu terutamanya pada waktu malam.