Pemilik KDA FC gembira berjaya langsaikan tunggakan gaji 2023

Iklan
Mohd Daud (tiga dari kiri) bersama lima pemain import yang memperkuatkan KDA FC bagi saingan Liga Super 2024-2025.

PEMILIK majoriti Kedah Darul Aman (KDA) FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar mengakui boleh kembali tersenyum selepas berjaya melunaskan hutang gaji tertunggak kepada pemain dan pegawai kelab tersebut bagi tahun 2023.

Menurutnya, banyak pihak termasuk penyokong tampil untuk membantu mengikut kemampuan masing-masing bagi mengurangkan beban yang ditanggung oleh Sang Kenari.

Iklan
Iklan

"Hari saya paling gembira kerana berjaya melunaskan hutang gaji tertunggak kepada pemain dan pegawai Kedah Darul Aman FC bagi tahun 2023. Saya tahu mereka dan keluarga banyak menghadapi kesukaran disebabkan kelemahan saya.

"Tapi mereka amat penyabar. Saya gembira kerana berjaya menunaikan tanggungjawab dunia dan agama iaitu gaji kepada mereka yang berhak.

Iklan

"Sejak lapan bulan lalu, saya runsing, sedih dan penat minda kerana gagal melaksanakan tanggungjawab. Hari ini saya boleh senyum semula,” katanya yang dipetik melalui laman Facebook rasminya, pada Jumaat.

Tambah Mohd Daud, beliau juga gembira kerana peminat dan penyokong KDA FC menerima penjelasan dan pengumuman baru dibuat secara positif.

Iklan

"Inilah titik kegembiraan paling tinggi buat diri saya sepanjang menguruskan KDA FC.

"Bila peminat dan penyokong bersama saya, segala kepenatan selama lapan bulan hilang begitu sahaja. Semoga saya dapat tidur nyenyak buat pertama kali pada malam ini. Ini semuanya adalah rahmat Ilahi yang sudah termaktub dalam ikatan takdir Ilahi,” ujar beliau.

Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan KDA FC mengesahkan kelab tersebut berjaya menyelesaikan keseluruhan tunggakan gaji bagi musim 2023 hasil usaha tanpa henti Mohd Daud.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shahrul Shamsudin berkata, tunggakan gaji tersebut meliputi semua pemain dan pegawai Pasukan Liga Super, KDA FC B (Piala MFL Bawah 23 Tahun), KDA FC C (Piala Presiden Bawah 20 Tahun), KDA FC D (Piala Belia Bawah 18 Tahun) serta staf pentadbiran kelab.

Menurutnya, tunggakan gaji berjaya diselesaikan pada pada Rabu iaitu sebelum tarikh akhir yang diputuskan oleh Pelesenan Kelab MFL First Instance Body (FIB) pada 20 April ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!