SHAH ALAM - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menyelar tindakan pengumuman penyaluran peruntukan RM5.21 juta kepada penduduk di daerah Hulu Selangor menjelang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu yang disifatkan melanggar garis panduan mengenai pilihan raya yang bersih.
Jawatankuasa Pemandu Bersih berkata, pengumuman tersebut telah melanggar garis panduan Larangan 3C, tidak bersyarat, tidak berkempen dan tidak bawa calon yang telah digariskan Bersih sejak pilihan raya negeri (PRN) 2023 kepada kerajaan bukan sementara seperti Kerajaan Persekutuan dan negeri dalam konteks PRK.
Kaanya, beberapa pelanggaran etika pilihan raya dilihat telah dilakukan oleh Kerajaan Madani dan perkara itu dikhuatiri akan menghakis keyakinan rakyat terhadap sistem demokrasi.
"Kami menggesa kerajaan menghentikan amalan tidak beretika ini yang bercanggah dengan prinsip perlawanan politik atas padang dalam pilihan raya.
"Jika perkara ini berlarutan ia akan terus menghakis keyakinan rakyat khususnya pengundi terhadap sistem pilihan raya dan proses demokrasi di negara ini,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Media pada Khamis melaporkan, KPKT memperuntukkan sebanyak RM5.21 juta bagi menambah baik infrastruktur awam di bawah seliaan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) dan Projek Kampung Baru Cina di kawasan itu.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, peruntukan tersebut meliputi 14 projek bernilai RM4.82 juta yang akan dilaksanakan oleh MPHS dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).
Menurut Jawatankuasa pemandu Bersih, tindakan tersebut boleh dianggap sebagai usaha membeli undi dan menggunakan pengaruh tidak wajar terhadap masyarakat di kawasan itu.
Tegasnya, kerajaan perlu mewujudkan garis panduan yang menyeluruh yang berkaitan berkaitan etika kerajaan bukan sementara dan kerajaan sementara dalam tempoh pilihan raya yang bermula sebaik sahaja pembubaran Parlimen atau Dun dan juga kekosongan kerusi di mana-mana kawasan.
Ujarnya, perkara itu perlu dikanunkan sebagai undang-undang supaya tidak berlaku salah guna sumber kerajaan dalam sebarang pengumuman dan peruntukan.
"Kami akan terus konsisten tanpa gentar dan tidak berpihak kepada mana-mana parti politik dalam memantau perjalanan pilihan raya di negara ini termasuk di PRK KKB tidak lama lagi.
"Bersih juga akan menghantar pemantau bagi melihat keseluruhan proses pilihan raya agar tidak berlaku sebarang pelanggaran supaya ia berlaku dengan adil dan bersih,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!