KEHEBATAN vokal penyanyi bersuara lunak dan lantang, Aina Abdul dalam menyanyikan lagu berentak genre balada sehingga mampu membuai emosi pendengar, sememangnya tidak dapat disangkalkan lagi.
Hampir sedekad usianya dalam industri hiburan tanah air, pelantun lagu Terus Hidup ini tidak hanya dikenali dengan penampilan fesyen uniknya tetapi aura vokalnya turut diakui ramai artis senior termasuklah Hattan mahupun Misha Omar.
Justeru, peluang bekerjasama dengan pemilik Nurul Aina Abdul Ghani menerusi konsert sulungnya di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada Mei ini, dianggap konduktor Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO), Ahmad Muriz Che Rose sebagai satu keistimewaan amat berharga.
Apatah lagi, sepertimana Aina yang mengimpikan untuk mengadakan persembahan di pentas berprestij, begitu juga dengan Ahmad Muriz yang telah lama menyimpan impian menjayakan konsert bersama wanita tersebut sekali gus menjadi penanda aras baharu buat kumpulan orkestranya.
Bercerita lanjut, beliau berkata, keinginannya untuk bekerjasama dengan siswazah Sarjana Muda Muzik Kontemporari, Universiti UCSI, Kuala Lumpur ini terdetik selepas menonton persembahan nyanyian anak kelahiran Johor Baharu ini dalam sebuah program televisyen, tiga tahun lepas.
Aina yang ketika itu menyanyikan lagu popular Mariah Carey, membuatkan lelaki ini terpukau dengan kelunakan dan kelantangan suara wanita itu tatkala mendendangkan lagu tersebut sekali gus meletakkan sasaran untuk bekerjasama dengan wanita ini pada masa akan datang.
Aina yang bakal mendendangkan hampir 20 lagu, antaranya Sumpah, Semalam, Sepi, Puas Sudah, Sesal, Kamu, Kejam, Imaji, Ahmad Muriz berkata, lagu Shadow merupakan antara paling susah untuk digubah dalam bentuk simfoni.
Namun, kerjasama yang diberikan oleh pemenang Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-38 dan bakat yang ada padanya, memudahkan pasukan orkestra MPO pimpinan Ahmad Muriz untuk mengubahnya sekali gus memastikan konsert tersebut berjalan lancar.
"Saya teruja untuk melihat Aina Abdul yang matang... saya rasa (konsert ini) seperti inspirasi baharu dan memberi peluang untuk saya menerokai lagu-lagu baharu (selepas lagu-lagu digubah kepada simfoni)," katanya yang akan memberi perhatian lebih kepada persediaan vokal dan menyediakan empat persalinan untuk dua hari konsert tersebut.
Ketika ini dia berlatih sendiri dan akan menjalani latihan bersama MPO, dua minggu lagi serta berharap dapat memberikan yang terbaik pada konsert itu nanti.
Tiket persembahan dengan harga RM255 hingga RM650 boleh dibeli menerusi tempahan di laman sesawang DFP www.dfp.com.my, e-mel ke boxoffice@dfp.com.my atau telefon melalui talian 03-23317007. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28