Hilang punca pendapatan, jatuh dari bumbung ketika bekerja

Iklan
Yahya yang sudah tidak dapat berjalan kerana keadaan isi tumit yang hancur selepas jatuh dari bumbung rumah.

TANAH MERAH - Empat sekeluarga hilang punca pendapatan berikutan ketua keluarga yang menjadi tulang belakang selama ini mencari nafkah tidak lagi dapat bergerak dan berjalan seperti biasa kerana tumit kaki hancur selepas terjatuh dari bumbung rumah ketika bekerja.

Buruh kasar, Yahya Jaafar, 49, dari Kampung Batang Merbau dikatakan jatuh dari ketinggian 4.9 meter (m) apabila paku pada kayu yang dipijak tercabut ketika hendak turun selepas selesai membuat kerja di bahagian bumbung di sebuah rumah, di sini, pada 31 Mac lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sejurus kejadian itu, dia dikejarkan ke Hospital Tanah Merah dan didapati mengalami kecederaan dalaman pada bahagian kedua-dua tumit.

"Bahagian isi dalam tumit kaki saya hancur selain daging-daging itu beralih ke bahagian buku lali menyebabkan saya sudah tidak lagi dapat berpijak atau berjalan.

Iklan

"Saya hilang punca pendapatan kerana tiada upaya untuk melakukan kerja-kerja berat seperti pekerjaan buruh kasar yang sudah dilakukan selama 35 tahun,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Yahya berkata, sebelum ini, pekerjaaan yang dilakukan itu memberi pendapatan tidak menentu kepadanya sekitar RM40 hingga RM60 sehari membolehkannya dia menyara seorang isteri, Orawan Dollah, 35, dan dua anak mereka yang berusia 13 serta lapan tahun.

Iklan

Kini, dirinya hanya mampu merintih dalam diam dan buntu memikirkan nasib keluarganya selain putus harapan kerana tidak cukup wang belanja bagi mengubati kecederaan tumit terbabit.

"Walaupun ada pilihan untuk saya memasukkan besi ke dalam tumit ini seperti saranan doktor tetapi langkah itu hanya membolehkan berjalan sahaja sebaliknya tetap tidak dapat digunakan untuk bekerja.

"Kos permulaan untuk memasukkan besi pula memerlukan RM4,000, mana saya ada duit,” katanya.

Lelaki itu memberitahu, ketika ini, mereka sekeluarga masih bergantung kepada ihsan pemberian makanan seperti beras daripada saudara-mara, jiran-jiran dan ketua kampung yang prihatin terhadap nasib menimpanya.

Seterusnya, selepas ini, dia sudah tidak mengetahui bagaimana cara untuknya mencari nafkah bagi menyara kehidupan mereka sekeluarga.

Bagi yang ingin membantu keluarga terbabit boleh salurkan ke akaun Yahya Jaafar, CIMB Bank Berhad 7026695990.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!