RANAU - Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan penemuan tulang manusia dipercayai bapa saudaranya yang telah dibakar di Kampung Kipaliu, di sini pada Jumaat.
Suspek berusia 40-an itu ditahan kira-kira jam 10 pagi oleh polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau.
Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintenden Simiun Lomudin berkata, tangkapan itu dibuat susulan penemuan serpihan tulang manusia akibat dibakar di kawasan hutan belakang sebuah rumah tidak bernombor di kampung tersebut.
"Susulan daripada itu, suspek yang juga merupakan anak saudara mangsa sendiri telah ditahan tidak jauh dari lokasi kejadian bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Katanya lagi, kes diklasifikasikan sebagai kejadian bunuh dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Kesemua serpihan tulang yang dijumpai akan dihantar ke Jabatan Kimia Kota Kinabalu untuk tujuan analisis perbandingan ujian asid deoksiribonukleik (DNA)," katanya.
Simiun dalam pada itu mengingatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes tersebut yang dibimbangi akan menganggu siasatan.
"Selain itu juga ia dibimbangi akan menggugat ketenteraman awam dan sebarang tindakan harus diserahkan kepada kepada pihak polis.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini boleh menghubungi Polis Daerah Ranau di talian 088-875222," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!