KUALA LUMPUR - Perdagangan Malaysia bagi Januari hingga Mac 2024 mengekalkan trend peningkatan, merekodkan pertumbuhan 7.1 peratus tahun ke tahun kepada RM690.59 bilion, dengan lebihan dagangan RM34.22 bilion, kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Dalam kenyataan mengenai Perangkaan Perdagangan Luar Malaysia, katanya, eksport pada suku pertama 2024 meningkat 2.2 peratus kepada RM362.41 bilion berbanding suku pertama 2023, disumbangkan oleh kenaikan eksport barangan perkilangan dan hasil galian.
Eksport barangan besi dan keluli, jentera, kelengkapan dan peralatan, barangan perkilangan logam, petroleum mentah dan gas asli cecair mencatat kenaikan ketara.
Menurut MITI, pertumbuhan telah disokong oleh peningkatan eksport ke Asean, Amerika Syarikat (AS) dan Jepun.
Bagi import suku pertama 2024, peningkatan 13.1 peratus tahun ke tahun kepada RM328.19 bilion disumbangkan oleh import barangan modal dan pengantara yang digunakan dalam aktiviti pembuatan barangan untuk dieksport.
Jumlah perdagangan bagi Mac 2024 berjumlah RM244.47 bilion (Mac 2023: RM232.6 bilion) dengan eksport bernilai RM128.64 billion dan import RM115.83 bilion.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam kenyataan berasingan berkata peningkatan import sebanyak 12.5 peratus pada Mac 2024 berbanding tahun lepas, didorong terutama oleh kenaikan dalam barangan modal.
DOSM menerusi Buletin Perangkaan Perdagangan Luar Negeri Malaysia berkata eksport turun secara marginal 0.8 peratus (-RM1.0 bilion) seiring dengan penurunan eksport semula sebanyak 10.2 peratus kepada RM24.5 bilion.
"Lebihan dagangan turun 52 peratus kepada RM12.8 bilion pada Mac 2024, lebihan bulan ke-47 berturut-turut sejak Mei 2020,” katanya.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata eksport yang lebih rendah disumbangkan ke Singapura sebanyak RM1.4 bilion, diikuti Australia (-RM1.2 bilion), Kesatuan Eropah (-RM1.1 bilion), Jepun (-RM450.1 juta), Hong Kong (-RM446.3 juta), Mexico (-RM398.8 juta) dan China (-RM345.9 juta).
Mengulas selanjutnya mengenai eksport, beliau berkata penurunan ini sejajar dengan kejatuhan minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit sebanyak RM1.7 bilion; keluaran petroleum (-RM1.2 bilion); barangan elektrik dan elektronik (-RM770.1 juta); dan barangan perkilangan berasaskan minyak sawit (-RM449.1 juta).
Sementara itu, import yang lebih tinggi disumbangkan terutamanya oleh Taiwan (RM5.5 bilion), diikuti oleh Emiriah Arab Bersatu (RM1.8 bilion), India (RM1.7 bilion), China (RM1.5 bilion), AS (RM1.1 bilion), Singapura (RM770.8 juta) dan Australia (RM711.3 juta), kata Mohd Uzir.
Dari segi sektor, peningkatan import dicatatkan untuk barangan elektrik dan elektronik (RM6.2 bilion); keluaran petroleum (RM3.1 bilion); petroleum mentah (RM1.8 bilion) dan jentera, kelengkapan dan peralatan (RM1.3 bilion). - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28